ADUN perkenal Bukit Ketitir sebagai lokasi riadah mendaki baharu di Batu Uban

A.Kumaresan sempat bergambar dengan beberapa pendaki yang turut bersama menyertai acara tersebut baru-baru ini.

BATU UBAN – Bagi mempromosikan Bukit Ketitir (bersebelahan Pejabat Pendidikan Negeri Pulau Pinang) sebagai lokasi riadah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A.Kumaresan menganjurkan satu acara mendaki santai di bukit tersebut baru-baru ini.

Acara yang berlangsung pada 26 Ogos itu disertai kira-kira 150 orang pendaki setempat yang bermula di Jalan Ketitir, Bukit Jambul.

Pendakian Bukit Ketitir dianggarkan setinggi empat kilometer (km) dan memakan masa kira-kira sejam lebih untuk para pendaki sampai ke puncak.

Kita ingin memperkenalkan bukit ini sebagai lokasi baharu kepada pendaki-pendaki di Pulau Pinang… kerana kawasan ini selalunya hanya terkenal dengan Bukit Jambul untuk aktiviti dakian, jadi tak salah rasanya selepas ini para pendaki cuba hiking di sini pula,” ujar beliau pada pemberita sebelum acara pendakian dimulakan.

Sejurus sampai di puncak Bukit Ketitir, Kumaresan turut mengambil peluang memacakkan Jalur Gemilang dan bendera Pulau Pinang bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

Acara yang dimulakan pada jam 2 petang selesai pada jam 5 petang.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI