ADUN puji ASTRO, PSM martabat kembali sukan sepak takraw

Admin

TANJUNG BUNGA – Jelajah Kejohanan Liga Sepak Takraw 2019 (STL 2019) ke Pulau Pinang pada minggu ini telah menggamit peminat sukan itu terutama dari Utara Semenanjung Malaysia berkampung di SPICE Arena dekat Bandar Bayan Baru.

Ketika berucap, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee menzahirkan penghargaan atas inisiatif bersama antara ASTRO dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam memartabatkan sukan itu.

“Saya berasa amat teruja dan berasa bangga dengan inisiatif ‘All-Asian Satellite Television and Radio Operator’ (Astro) dan PSM yang sudah memasuki tahun keenam dalam mengangkat martabat sukan ini.

“Kerjasama Astro bersama-sama PSM ini telah berjaya membawa sukan ini dekat dengan rakyat serta kebangkitan semula sepak takraw dalam kalangan anak muda tempatan,” katanya semasa sidang media dekat Jazz Hotel Seri Tanjung Pinang pada 26 September 2019.

Hadir sama, Presiden Persatuan PSM merangkap presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Ismail; Naib Presiden PSM merangkap Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang, Datuk Abdul Jalil Ariffin dan Pengurus Besar Jazz Hotel Pulau Pinang, Khoo Boo Lim.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Astro Arena, Preman Parameswaran; Jurulatih Penang Black Panthers, Mohd Helmi dan Pemain Penang Black Panthers, Said Ezwan.

Mengulas lanjut, Lip Chee berharap agar aura positif ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan semua pihak dalam menaikkan lagi tahap STL dan sepak takraw di Malaysia ke peringkat global.

“Perlawanan Penang Black Panthers yang dinanti-nantikan oleh peminat apabila mencatatkan rating tertinggi di Astro setiap minggu dan saya berharap agar mereka (Penang Black Panthers) dapat mengekalkan kejuaraaan sejak tiga musim lalu.

“Saya menyeru kepada semua penyokong sukan sepak takraw untuk turun bersama-sama ke Spice Arena menyaksikan pasukan dan pemain kegemaran anda,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Difahamkan, saingan STL 2019 telah membuka tirainya pada 6 September lalu di stadium Malaysia Basketball Association (MABA) Kuala Lumpur selama tiga minggu.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALVIE CHENG