ADUN puji program CSR Deepavali raikan kanak-kanak istimewa

PULAU BETONG – Sempena perayaan Deepavali yang masih meriah disambut, Lexis Suites Penang tidak ketinggalan meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Kebajikan Seri Cahaya yang terletak di Batu Maung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis berkaitan, ketika ditemui berkata bahawa usaha yang dilakukan pihak hotel berkenaan amat mulia dan wajar dijadikan contoh.

“Pada malam ini, seramai 35 kanak-kanak telah dijemput untuk memeriahkan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) sempena Deepavali anjuran Lexis Suites Penang.

“Saya amat teruja berpeluang merapatkan jalinan erat bersama-sama anak-anak istimewa ini walaupun berbeza agama, serta dapat menjamu pelbagai menu istimewa yang disediakan,” katanya.


Turut hadir, ADUN Angkat Teluk Bahang, Dato’ Mohd Bakhtiar Wan Chik; Pengurus Besar Lexis Suites Penang, Ben Ho serta barisan penjaga Rumah Kebajikan Seri Cahaya.

Dalam pada itu, Mohd. Bakhtiar turut menzahirkan rasa terharu kerana dapat bersama-sama sertai majlis tersebut.

“Penyerahan sumbangan (barangan keperluan) ini diharapkan dapat memberi sinar harapan kepada mereka dan girang dalam menyambut perayaan Deepavali.

“Syabas pihak Lexis Suites Penang atas usaha murni dalam memberi peluang kepada kanak-kanak ini merasai nikmat yang sama kita rasai,” ujarnya.

ACARA penyerahan sumbangan barangan keperluan yang diadakan semalam.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara hiburan dan permainan dari Jabatan Sukan & Rekreasi Lexis Suites Penang, kemudian diakhiri dengan acara penyampaian sumbangan duit raya dan barangan keperluan dari pihak hotel serta Mohd. Tuah.

Teks : NUR ASHIKIN ISMAIL