BERTAM – Sempena Ramadan yang mulia pada tahun ini, Mydin Mall Bertam julung kalinya menganjurkan Majlis Iftar Perdana Ramadan 2023 bagi meraikan asnaf dan anak yatim di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis berkaitan berkata bahawa usaha yang dilakukan pihak Mydin amat mulia dan wajar dijadikan teladan.
“Saya difahamkan, seramai 50 asnaf dan anak yatim secara keseluruhan dijemput untuk memeriahkan majlis berbuka puasa ini yang merupakan sebahagian daripada program CSR (tanggungjawab sosial korporat) sempena Ramadan anjuran Mydin Mall Bertam.
“Penyerahan sumbangan ini diharapkan dapat memberi sinar harapan kepada mereka serta tidak tercicir untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan keimanan,” ujarnya sambil memuji usaha murni dalam memberi peluang kepada mereka merasai nikmat berbuka yang sama.
Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Saduruddin Gulam Husen; Pengurus Operasi Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin serta ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil pegawai.
Dalam pada itu, Azmin memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memberi perhatian terutamanya program CSR lain yang bakal diadakan pada masa akan datang.
“Penganjuran majlis ini merupakan yang kesembilan dan saya amat teruja kerana masih berpeluang merapatkan jalinan erat serta dapat menjamu pelbagai menu istimewa yang disediakan bersama-sama mereka.
“Pihak Mydin turut berbesar hati serta mengalu-alukan kerjasama dengan badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk penganjuran program CSR kelak,” jelasnya lanjut.
Difahamkan, asnaf dan anak-anak yatim berkenaan turut menerima sumbangan baju raya sebagai persediaan perayaan Aidilfitri akan datang.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS