ADUN puji program pembersihan pantai tingkatkan kesedaran awam

Admin

BATU MAUNG – Demi merealisasikan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung bersama-sama Intel Malaysia (Intel) dan SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) menganjurkan Program Pembersihan Pantai 2023 bersama-sama komuniti setempat.

DATO’ Abdul Halim Hussain semasa sesi perasmikan program berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain ketika ditemui berkata bahawa kebersihan dalam memelihara alam sekitar merupakan satu kewajiban bagi semua individu dan bukannya terletak di bahu suatu pihak sahaja.

“Ramai yang tahu bahawa kawasan di sekitar Batu Maung ini mempunyai tarikan alam semula jadi tersendiri, contohnya Pantai Esen selain dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di pantai tersebut.

“Bukan itu sahaja, tempat seperti Muzium Perang dan Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) juga sering dikunjungi pelancong yang mana secara tidak langsung menjadi tanggungjawab kita untuk terus menjaga kebersihan persekitaran sebaik mungkin,” ujarnya semasa merasmikan program berkaitan di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut dekat sini pada 9 Mac 2023.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Korporat Intel, Vincent Saw Seng Giap, wakil-wakil dari pusat khidmat dan Pejabat Daerah (Barat Daya) serta barisan sukarelawan.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan, memuji syarikat Intel kerana sudi turun padang membersihkan kawasan pantai tersebut.

“Saya difahamkan pihak (Intel) turut berusaha meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar dengan menanam pokok-pokok bakau, melakukan pengutipan sampah serta kerja-kerja pembersihan yang lain.

“(Dan) pada hari ini, seramai 100 pekerja Intel secara sukarela telah menyantuni program ini di samping menyumbang bakti kepada masyarakat serta mencapai matlamat meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.

AKTIVITI zumba yang dijalankan sebelum kerja penbersihan dimulakan.
KERJA-KERJA pembersihan yang dijalankan di kawasan persisiran pantai.

Selain bergotong-royong membersihkan pantai, aktiviti zumba dan jamuan makan tengah hari turut diadakan di tapak program.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI