ADUN Pulau Tikus seru komuniti kurang hasil sisa pepejal

PULAU TIKUS – Warga pulau dinasihat supaya menguruskan sisa pepejal masing-masing, termasuk mengurangkan keterhasilan sampah serta melakukan aktviti kitar semula semaksimum mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, pengumpulan sampah yang kian meningkat saban tahun mengakibatkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terpaksa berbelanja sebesar RM24 juta.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka bagi menjaga alam sekitar supaya kekal bersih dan selamat. “Marilah kita semua bekerjasama bersama-sama MPPP,” katanya beliau dalam satu majlis dialog dengan komuniti setempat di Pasar Pulau Tikus di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar MPPP, Mubarak Junus dan Dr. Judy Shoba (Pengarah Perkhidmatan Bandar, Kesihatan Awam dan Perlesenan, MPPP).

Sementara itu, Mubarak berkata, MPPP akan menyediakan baldi demi memudahkan kaum penjaja mengumpul sisa makanan mereka masing-masing.

“Para pekerja MPPP akan mengutip sisa makanan dari para penjaja setiap hari. MPPP mempunyai lima tangki bagi menyimpan baja cecair yang telah diproses.

“Sisa makanan tersebut kemudian akan dibawa ke pusat pemprosesan untuk di proses dan dijadikan baja cecair,” katanya.