ADUN Pulau Tikus syor Gurney Bay dibangunkan, mampu jana pendapatan negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng mencadangkan Kerajaan Negeri untuk menggunakan Gurney Bay dengan sebaiknya bagi menjana pendapatan baharu.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan pembangunan di Gurney Bay bakal membawa banyak kebaikan untuk negeri secara amnya.

“Laluan di Gurney Bay sering didengari mengalami isu kesesakan, justeru bagi mengurangkan permasalahan berikut saya berpandangan penyediaan perkhidmatan bas perantara yang boleh membawa pengunjung dari lokasi Park & Ride di George Town dan Tanjong Bungah ke Gurney Bay.

“Selain itu, pembinaan tempat letak kereta bertingkat juga berpotensi untuk ditambah dek kapasiti sedia ada hanya sebanyak 1,016 parkir awam di Persiaran Gurney, jika permasalahan ini timbul maka wajar parkir bertingkat dibina dekat sini.

“Selanjutnya, saya berpendapat dengan adanya teksi air yang menghubungkan Gurney Bay ke Butterworth, secara tidak langsung isu kesesakan jalan juga akan berkurangan dek pengunjung boleh menggunakan kemudahan awam yang lain,” katanya semasa membahaskan Bajet 2024 Negeri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2023

Dalam pada itu, Sze Zeng turut mencadangkan sebuah syarikat yang berpengalaman dalam menganjurkan acara dan program untuk menguruskan perihal Gurney Bay.

“Sebagai contoh, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Penang Hill Corporation (PHC) boleh diwujudkan untuk menguruskan Gurney Bay, dibawah nama Gurney Bay Corporation.

“Anak syarikat tersebut boleh mengendalikan semua kegiatan dan aktiviti pelancongan, konsert, pertandingan generasi masa kini, pesta seni dan budaya, serta majlis perayaan.

“Selain itu, anak syarikat tersebut boleh menguruskan gerai atau tapak penjaja, pameran dan aktiviti kormersil pantai seperti kayak, parasailing, ski air serta tarikan kemudahan teksi air ke destinasi seperti Pulau Andaman, Pantai Keracut dan Butterworth,” tambahnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN