JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye menyarankan dua kaedah bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di persimpangan tol Jawi, di sini.
Menurutnya, kaedah paling berkesan adalah dengan menambah satu lagi lorong tol di laluan masuk dari Jawi ke Lebuhraya Utara-Selatan khusus untuk pengguna SmartTAG atau Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Tambahnya lagi, cadangan itu telah dipersetujui dalam suatu mesyuarat bersama-sama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Januari lalu.
“Kami mengambil serius aduan berkaitan kesesakan lalu lintas di persimpangan tol Jawi kerana difahamkan masa yang diambil oleh pengguna dari Nibong Tebal ke tol yang jaraknya hanya dua kilometer (km) mengambil masa kira-kira 40 minit.
“Selepas mesyuarat pertama bersama-sama pihak berkaitan pada Disember 2018, kami menemui satu kaedah yang lebih mudah iaitu dengan menetapkan semula operasi lampu isyarat dan mendapati memang berlaku sedikit perubahan.
“Walau bagaimanapun, selepas lampu isyarat dan persimpangan Jalan Transkrian ditutup pada tahun lepas maka aliran trafik dari arah selatan ke utara menjadi lancar menyebabkan kesesakan kini tertumpu di persimpangan tol Jawi.
“Justeru, selepas perbincangan kali kedua, pihak PLUS bersetuju untuk menambah satu lagi lorong tol tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan laporan bagi meluluskan cadangan ini,” jelasnya pada sidang media ketika hadir meninjau keadaan di persimpangan tol jawi, dekat sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Heng Yeh Shiuan.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, pihaknya juga mencadangkan agar pihak berkuasa lebuh raya mengehadkan waktu laluan bagi kenderaan berat yang melalui tol Jawi khasnya pada waktu puncak bagi mengatasi masalah tersebut.
“Walaupun cadangan ini agak praktikal tetapi ia masih tidak dapat dilaksanakan kerana bakal menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Bukit Tambun.
“Oleh itu, kita perlu menunggu jambatan yang menghubungkan Valdor ke Batu Kawan dibuka secara rasmi kepada lalu lintas yang dijangka pada April 2020, sebelum cadangan ini dapat dilaksanakan.
“Diharapkan agar pengguna jalan raya di sini dapat memberikan kita sedikit masa bagi melaksanakan cadangan-cadangan ini dan saya merayu kepada pengguna supaya mematuhi arahan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan menjadi bertambah buruk,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada kerajaan Persekutuan supaya mensyaratkan agar semua kereta baharu yang dikeluarkan di negara ini dipasang dengan kemudahan RFID.
“Perkara ini boleh diutarakan di Dewan Rakyat oleh ahli parlimen untuk meminta kerajaan meluluskan undang-undang yang mensyaratkan semua kenderaan baru dipasang dengan kemudahan RFID.
“Ini adalah untuk menggalakkan masyarakat menggunakan kemudahan ini yang dilihat mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD