PADANG KOTA – Kerajaan Negeri hari ini wajar mengkaji serta membina lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mampu disewa oleh rakyat yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memberitahu bahawa ketika ini masih ramai menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan terutama mereka yang hilang kerjaya dan pendapatan tetap akibat pandemik COVID-19.
“Selain itu, halangan yang mendorong kepada masalah pemilikan rumah ialah nilai hartanah melambung tinggi, kesukaran mendapatkan pembiayaan, kos sara hidup semakin meningkat serta beban hutang.
“Kebanyakkan rakyat masih ramai yang tidak mampu memiliki rumah yang diidamkan.
“Seperti mana yang kita tahu, memang terdapat rumah kos rendah, namun rakyat masih tidak dapat memiliki khususnya golongan pertengahan,” ujar Soon Siang pada perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah unit PPR sedia ada memang tidak cukup untuk memenuhi permintaan rakyat yang layak.
“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk membina lebih banyak rumah PPR seperti ini demi kepentingan dan kesejahteraaan rakyat,” katanya lagi.
Di samping itu, Soon Siang turut berbahas mengenai sistem pengangkutan awam, masalah kesesakan lalu lintas, peri penting penyediaan lorong basikal serta kemudahan infrastruktur lain.
Kesempatan sama, Soon Siang turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Pulau Pinang yang muncul juara bagi Liga Perdana 2020 dan melayakkan diri ke saingan Liga Super bagi tahun 2021.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI