ADUN saran PBT tingkat penguatkuasaan kurangkan kesesakan di Jalan Residensi

img 20241126 wa0079

GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan supaya meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Residensi dekat Pulau Tikus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata tindakan meletakkan kenderaan di bahu jalan, khususnya di hadapan Hospital Pulau Pinang telah menyebabkan berlaku kesesakan di jalan terbabit.

“Jalan Residensi mempunyai empat lorong sehala, namun begitu, setiap hari, kedua-dua bahu jalan dipenuhi oleh kereta dan menyebabkan kesesakan.

“Saya telah menjalankan siasatan pada masa melawat pesakit di situ, iaitu dari jam 12.30 tengah hari sehingga 2 petang dan mendapati terdapat 184 parkir percuma di bangunan tempat letak kereta bertingkat belakang Jabatan Perubatan Forensik dalam kawasan hospital masih kosong.

“Justeru, pelawat ke hospital tiada alasan untuk hentikan kereta mereka di tepi jalan kerana memang ada ratusan lot parkir percuma yang tidak digunakan semasa waktu sibuk di hospital,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sze Zeng memaklumkan bahawa projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) yang dirancang oleh Kerajaan Negeri adalah penyelesaian penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Tikus.

“Projek PIL1 akan menghubungkan kawasan Persiaran Gurney ke Jambatan Kedua Pulau Pinang.

“Pada masa ini, kesesakan di Pulau Tikus semasa waktu puncak adalah disebabkan terdapat empat jalan pengantara dalam kawasan, iaitu Jalan Burma, Jalan Kelawai, Jalan Utama dan Persiaran Gurney.

“Banyak kenderaan menggunakan empat jalan ini sebagai jalan pengantara di antara Tanjung Tokong dan George Town.

“Oleh sebab itu, lebuh raya PIL1 merupakan satu cara penyelesaian yang penting bagi mengurangkan kesesakan di Pulau Tikus,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek PIL1 sepanjang 20 kilometer (km).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SOTI NABILAH NOORAZIS