DATOK KERAMAT – Kerajaan Negeri sentiasa memberi fokus dalam perkembangan dan pembangunan pendidikan di negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, seiring dengan Visi Penang2030, pendidikan juga menjadi salah satu agenda penting.
Menurut beliau, sejak tahun 2008 lagi, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan khas pendidikan kepada sekolah-sekolah di kelima-lima daerah di negeri ini.
“Peruntukan ini adalah bagi membantu pihak sekolah dalam pemulihan untuk menambah baik kemudahan sedia ada dan ia diteruskan sehingga kini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang dekat sini pada 16 April 2022.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Pengelola SJKC Han Chiang, Tan Sri Tan Kok Ping; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah, Datuk Seri Hong Yeam Wah; Setiausaha Kehormat Lembaga Pengelola sekolah, Datuk Tan Hiang Joo serta Ahli-Ahli Lembaga Pengelola SJKC Han Chiang.
Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat berharap agar Kerajaan Persekutuan turut membantu dalam pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia merupakan hak asasi manusia,” jelasnya.
Terdahulu, Jagdeep menyerahkan cek sumbangan bernilai RM30,000 kepada pihak sekolah sebelum dibawa melawat ke bangunan baharu sekolah itu.
Difahamkan, sumbangan tersebut adalah melalui peruntukan beliau sebagai ADUN yang mana ia merupakan sumbangan kali ketiga, menjadikan keseluruhan berjumlah RM100,000 semuanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow juga menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu pembangunan bangunan pembelajaran dan pemudahcaraan (PDPC) sekolah tersebut.
Sementara itu, Kok Ping ketika ditemui menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jagdeep selaku ADUN yang telah banyak membantu dalam pembangunan di SJKC Han Chiang.
“Sumbangan kali ini adalah yang ketiga daripada YB (Jagdeep), malah YB juga banyak membantu sekiranya terdapat kekangan sepanjang proses projek pembangunan di sini.
“(Dan) bagi pihak sekolah, kami akan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam memastikan masa depan pendidikan di negeri ini terus cemerlang,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING