ADUN seru murid terus pelihara seni kaligrafi cina

Admin
ZAIRIL Khir Johari (berdiri tengah) menunjukkan seni kaligrafi yang disampaikan sempena Tahun Baru Cina 2019 di dewan SJK C Hun Bin pagi tadi.

 

 

TANJUNG BUNGAH – Sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 5 Februari depan, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkenan untuk menyampaikan sumbangan buah limau mandarin dan tulisan seni kaligrafi Cina kepada murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Hun Bin Tanjong Tokong, di sini.

 

Pada pertemuan ringkas berkenaan, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan tersebut mengajak murid-murid di sekolah berkenaan untuk terus memelihara seni kaligrafi Cina agar ianya terus hidup.

 

“Ini juga mampu memupuk kesedaran dan minat kepada murid-murid dan orang ramai kepada amalan seni kaligrafi dan sememangnya saya juga minat akan seni ini.

 

“Tidak semua tulisan boleh ditulis menggunakan kaligrafi, misalnya tulisan roman ianya tidak sesuai.

 

“Bagi masyarakat Melayu pula kaligrafi juga menghasilkan seni yang baik untuk tulisan Jawi,” ujarnya.

 

Kaligrafi yang disampaikan bermaksud, ‘segalanya berjalan lancar dengan penuh keberkatan’ iaitu satu ungkapan khas sempena perayaan tersebut pada tahun ini.

 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pentadbiran Sekolah, Chew Tatt Hoy; Guru Besar, Chee Chong Kat dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Keong Chee Khoon.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : CHAN KOK KUAN