GANGGUAN bekalan air terawat secara berjadual akan berlaku mulai 10 hingga 14 Januari 2024.
Dalam tempoh itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu melaksanakan kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang bocor; di samping kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan cegah perpaipan di 22 lokasi lain seluruh negeri.
Pada 8 Disember 2024 lagi, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari telah membuat pemakluman tersebut supaya sekalian pengguna yang terjejas kira-kira 590,000 orang sekitar bahagian Pulau dan Seberang Perai dapat membuat persiapan awal.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga itu lagi, PBAPP terpaksa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tersebut kerana mengambil kira kehilangan air tidak terhasil (NRW) setiap hari yang ketika ini direkodkan sebanyak 28.6 peratus sebulan.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan pula berkata pelan kontingensi tersebut terpaksa dilaksanakan demi memastikan sistem penyeliaan bekalan air terawat negeri pada masa hadapan terjamin.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan sekalian pengguna domestik dan komersial memastikan tangki air di premis masing-masing penuh bagi menghadapi ‘senario terancang’ gangguan bekalan air berjadual itu nanti.
Pada pagi ini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR dan NOOR SITI NABILAH NOORAZIS cuba mendapatkan maklum balas lanjut daripada beberapa wakil rakyat berhubung persiapan peringkat lapangan bagi mendepani gangguan bekalan air di kawasan masing-masing.
ADUN Batu Maung, DATO’ DR. MOHAMAD ABDUL HAMID ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya pada permulaan telah memohon kepada PBAPP untuk menempatkan dua ‘flexi tank’ di Desa Jelita dan Taman Indah.
Alhamdulillah, tangki tersebut telah tiba di lokasi pada 29 Disember lalu (2023) yang mana kedua-duanya mampu menyimpan kapasiti air sehingga 24,000 liter.
“(Dan) sebagai tambahan, pihak PBAPP juga bersetuju membuat tambahan dua lagi ‘flexi tank’ yang akan ditempatkan di Sunway Cassia dan Pusat Bayan hari ini. Terima kasih kepada PBAPP,” zahirnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Mohamad turut menyeru agar semua penduduk di kawasan Batu Maung supaya membuat persiapan rapi bagi menghadapi situasi genting ini dan bergerak seiringan dengan agensi-agensi kerajaan negeri terlibat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, JAGDEEP SINGH DEO yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu bahawa pihaknya telahpun mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berhubung persiapan menghadapi gangguan bekalan air berjadual di bahagian Pulau termasuk Datuk Keramat.
“Saya dimaklumkan bahawa MBPP akan membekalkan sejumlah 75 tangki air, itu tidak termasuk bantuan tangki air luar yang digerakkan dari sembilan negeri lain.
“Ada dua jenis tangki air akan ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas, iaitu tangki air khusus untuk minum; satu lagi adalah untuk selain keperluan minum seperti mandi, membasuh dan sebagainya.
Tiap-tiap tangki bergerak yang disediakan oleh pihak MBPP ke kawasan terjejas – termasuk sekitar KADUN Datuk Keramat – akan membekalkan air terawat dalam kapasiti 5,600 liter padu.
“Paling penting, sepanjang tempoh 10 hingga 14 Januari 2024 ini nanti adalah memastikan premis-premis perniagaan di bawah seliaan MBPP, seperti astaka dapat terus beroperasi seperti biasa; ini adalah keutamaan saya juga di peringkat KADUN Datuk Keramat.
“Kita akan terus memberikan penerangan supaya semua pengguna membuat persiapan awal, di samping menggunakan sumber air dari tangki yang disediakan oleh MBPP secara hemah,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi menerusi telefon.
Bagi ADUN Pengkalan Kota, WONG YUEE HARNG pula berkata sehingga pagi ini sejumlah 25 tangki air bergerak telahpun ditempatkan di beberapa kawasan terjejas di kawasan yang diwakilinya.
“Sejumlah 40 buah tangki air bergerak ‘tambahan’ telahpun ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas; kesemuanya disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying (yang juga Timbalan Menteri Kewangan).
Bagi KADUN Pengkalan Kota sendiri, kita terima 25 tangki air ‘tambahan’ tersebut, kesemuanya telahpun ditempatkan di kawasan-kawasan yang terjejas seperti kawasan flat sekitar Lebuh Macallum, jeti klan, Lebuhraya Merdeka, Lebuh Cecil serta kawasan sepanjang Jalan Magazine ke Lebuh Sandiland.
“Dalam siaran raya PBAPP, tidak perincian semua kawasan yang langsung mengalami gangguan bekalan air berjadual atau mengalami tekanan air rendah – contohnya Lebuh Macallum.
“Sebenarnya hampir semua kawasan perumahan sekitar George Town (KADUN Pengkalan Kota) akan terjejas – contohnya Pengkalan Weld – jadi terpaksalah pada peringkat lapangan kita memberi penerangan lanjut supaya semua pihak memastikan tangki air di premis masing-masing penuh.
“Bagi kawasan-kawasan perumahan berstrata (flat), kita menyerahkan tangki air bergerak kepada pihak pengurusan (mereka); manakala bagi premis bertanah pula, tangki air ini diserahkan sama ada kepada wakil penduduk atau MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung),” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada PBAPP dan Kerajaan Negeri kerana membuat pengumuman perancangan gangguan bekalan air berjadual kira-kira 30 hari awal.
ADUN Batu Lanchang, Ong Ah Teong memberitahu bahawa selain menguar-uarkan kepada umum supaya menyimpan air secukupnya, pihaknya turut menyediakan tangki air yang mampu menampung 2,270 liter di Pasar Awam Jelutong; Pasar Awam Jalan Perak, Pasar Awam Batu Lanchang dan dua pusat penjaja di kawasannya.
Selain itu, tiga unit lori yang membawa tong dengan kapasiti 3,000 liter juga disediakan untuk diagihkan ke enam kawasan kediaman termasuk dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa tong air berkapasiti 2,000 liter ke kawasan yang sempit untuk kenderaan berat seperti lori.
“Saya juga mengambil inisiatif mengedarkan beg plastik gred makanan kepada sekolah dan kediaman yang kecil dan tidak mempunyai ruang untuk menempatkan baldi atau tong simpanan air, lagipun ia lebih mesra alam sekitar,” katanya yang yakin sekiranya orang ramai menyimpan air secukupnya ia mampu menampung keperluan sepanjang tempoh sukar tersebut.
Difahamkan, Pusat Khidmat ADUN Batu Lanchang juga menyediakan bekas simpanan air yang mampu menampung 2,270 liter air bagi membantu situasi.
Selain bahagian Pulau, kawasan-kawasan sekitar tiga daerah di bahagian Seberang Perai turut terjejas dalam tempoh empat hari mulai 10 Januari 2024.
Di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) umpamanya, boleh dikatakan hampir semua kawasan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual nanti.
Sumber PBAPP memberitahu di Daerah SPS, hanya Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya Pokok Bunga Camp, Kampung Besar Sungai Buaya, dan Kampung Sungai Kecil mungkin tidak terjejas.
ADUN Sungai Acheh, RASHIDI ZINOL yang juga Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar berkata pihaknya lebih menumpu pada program penerangan peri penting memastikan tangki air di premis masing-masing penuh sebelum 10 Januari 2024.
“Kita akan berbincang dengan pihak PBAPP supaya tangki bekalan air bergerak untuk keperluan minum dan masak turut ditempatkan di sekitar KADUN Sungai Acheh ini.
“Tidak cukup dengan penerangan secara dalam talian, kita turut mengedarkan risalah berkaitan supaya semua pengguna tahu serta membuat persiapan awal sebelum 10 Januari 2023 ini.
KADUN Sungai Acheh kebanyakan kawasan pertanian, masih ada sumber air dari tali air, telaga dan sebagainya.
“Namun, kalau benar-benar tidak mampu menyediakan tangki air ‘tambahan’ di rumah untuk keperluan minum dan makan, perkara ini sedang kita usahakan kini,” jelasnya lagi.