ADUN seru rakyat tinggalkan politik perkauman

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menggesa setiap lapisan masyarakat untuk terus bercakap mengenai toleransi antara kaum, sungguhpun negara telah memasuki era ‘Malaysia Baru’ sejak 9 Mei 2018.

Katanya, melalui cara itu, semua lapisan masyarakat menyumbang pada usaha Kerajaan Pakatan Harapan untuk melunturkan pemikiran rasisme serta prasangka antara kaum yang cuba disemarakkan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menyampaikan mesej muhibah itu pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Taman Permainan Tenggiri di sini pada 2 Februari lalu.

“Dalam suasana Malaysia Baru pada hari ini, saya sebagai ahli politik muda berasa kita (rakyat) perlu tinggalkan politik perkauman yang lama.

“Kita perlu hidup betul-betul macam suatu keluarga tak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, kita semua orang Malaysia.

“Kita boleh hidup secara harmoni dalam (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Seberang Jaya dan juga Malaysia ini.

“Sebab itu, kita mesti terus bercakap soal modenisasi, toleransi dan hidup bersama, kerana kalau kita tak dapat laksanakan ini, saya takut nanti anak cucu kita tidak dapat menikmati kehidupan aman dan juga harmoni,” jelasnya di depan ratusan hadirin.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Dalam pada itu, Afif turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Seberang Jaya yang telah memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sehingga membawa penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru selain kekal memerintah negeri ini.

Katanya lagi, keharmonian rakyat ketika ini sebenarnya sangat dicemburui oleh golongan tertentu, sehingga pihak berkenaan cuba menyemarakkan api perkauman.

“Hari ini, amai berasa cemburu dengan keamanan, mereka percaya dengan menjadi lebih rasis, mereka akan berjaya.

“Kita nak beritahu kepada mereka bahawa kita orang Malaysia tidak dapat menerima sikap perkauman mereka ini,” tegasnya lagi.

Pada majlis itu juga, Afif bersama-sama pemimpin tempatan serta barisan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut menyertai acara menggaul ‘yee sang’ yang menjadi tradisi masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS