ADUN seru semua pihak lawan jenayah

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, menyeru semua pihak termasuk orang awam untuk bekerjasama membantu perangi jenayah di kawasan komuniti masing-masing.

Ujarnya, selain mewujudkan polis komuniti, inisiatif Kerajaan Negeri dalam menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) juga diharap dapat membantu pihak polis terutamanya dalam mengekalkan keamanan sosial dan melindungi keselamatan dan harta rakyat.

“PPS ditubuhkan bagi membantu polis mengekalkan keamanan kawasan sekitar.

“Malah sehingga ke hari ini, penubuhan PPS telah menampakkan hasilnya apabila mereka (PPS) membantu melawan jenayah seperti pecah rumah dan mencuri motosikal,” katanya pada majlis ringkas perasmian Bilik Operasi PPS Desa Mawar baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada anggota PPS yang melakukan rondaan secara sukarela dalam menjaga kedamaian penduduk sekitar.

“Saya harap lebih ramai lagi yang tampil menjadi anggota PPS terutama anak-anak muda kerana mereka mempunyai tenaga dan semangat yang kuat,” ujar Hon Wai lagi.

Hadir sama Ketua PPS Desa Mawar, Kung Kia Hor.