GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik memohon supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pembangunan negeri ini.
Katanya, peruntukan tambahan tersebut adalah penting kelangsungan pembangunan negeri Pulau Pinang terutamanya yang melibatkan pelaksanaan projek infrastruktur mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Antara projek yang memerlukan perhatian khusus oleh Kerajaan Persekutuan termasuklah naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan dari Jawi ke Sungai Dua, menambah susur keluar di Sungai Bakap, naik taraf Jalan Persekutuan (FT01) dari Persimpangan Jawi ke JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Valdor, naik taraf Jalan Persekutuan (FT01) dari Permatang Tinggi ke Sungai Juru; naik taraf Jalan Teluk Kumbar (FT06) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yang Cheng, pembinaan laluan bertingkat di Lebuh Raya Utara Selatan, pembinaan Masjid Daerah di Bandar Cassia serta Hospital Batu Kawan.
“Ini selaras dengan ucapan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang mahu peruntukan kepada negeri Pulau Pinang ditambah seiring dengan kepesatan pembangunan,” ujar Choon Aik pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 20 November 2023.
Dalam isu berkaitan, Choon Aik menyatakan bahawa sektor ekonomi negeri juga berkembang baik sebanyak 13.1 peratus.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Pulau Pinang pula mencatatkan RM112.1 bilion pada tahun lepas.
“Sementara itu, RM13.7 bilion pula adalah jumlah pelaburan yang diluluskan yang dianggar mampu menyediakan sebanyak 15,752 peluang pekerjaan.
“Tambahan daripada itu, Pulau Pinang kuga menerima pengiktirafan pensijilan audit bersih bagi tahun 2022,” maklum Choon Aik lagi.
Pada masa sama, Choon Aik turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengkaji cadangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai zon kewangan eksklusif.
“Ini mampu meningkatkan lagi potensi pembangunan Pulau Pinang di zon utara ini,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN