PADANG KOTA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan mini pentas atau pusat seni setempat di kawasan tumpuan orang ramai dekat negeri ini.
Menurutnya, fasiliti seumpama itu akan membantu para penggiat seni tempatan, sekaligus mampu mengembalikan identiti asal seni Pulau Pinang.
Selain itu, beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Seni Negeri Pulau Pinang.
“Secara dasarnya inisiatif ini adalah untuk mendirikan mini pentas persembahan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai yang mana pelbagai aktiviti boleh dijalankan… antaranya persembahan teater rakyat seperti Bangsawan atau Mek Mulung mahupun tarian tradisional seperti Boria dan Joghee.
“Mengambil contoh inisiatif dari bandar Melaka, beberapa kawasan tumpuan pelancong ditempatkan persembahan-persembahan yang mampu memberi pengertian tentang penceritaan sejarah bandar tersebut dan menjadikan ini sebagai tarikan pelancong.
“Namun, saya juga ingin menegaskan bahawa tumpuan tidak seharusnya hanya di bandar Warisan George Town, malah sebenarnya di Pulau Pinang sendiri masih banyak tempat-tempat sejarah yang perlu untuk kita bangunkan sebagai contoh, rumah Tunku Kudin yang terletak di Gelugor atau kawasan-kawasan baharu yang boleh dijadikan tumpuan pelancong di negeri ini bagi mengelakkan tumpuan ramai hanya pada satu-satu tempat sahaja,” ujar beliau dalam perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 pada petang tadi.
Tambahnya, Pulau Pinang melalui Penang Parade Festival sekitar tahun 90-an dahulu amat terkenal sehingga mampu membawa tarikan unik kepada pelancong asing mahupun pengunjung tempatan ke negeri ini
Untuk itu, menurutnya lagi, penambahbaikan mampu dilakukan dengan mempelbagaikan seni budaya yang unik dari pelbagai kaum dan bangsa di Pulau Pinang dengan memperkenalkan semula elemen masyarakat Jawi Peranakan, Baba Nyonya, Melayu, Cina, Eurasian dan kaum asal lain di Pulau Pinang kepada orang ramai agar warisan seni budaya negeri kian terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan, Syerleena turut menjelaskan bahawa para penggiat seni antara kelompok rakyat bawahan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 hingga kini.
“Oleh demikian, saya ingin menyeru kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya dapat membuka ruang-ruang ‘seni’ untuk mempromosikan bakat-bakat tempatan dan juga memberi peluang kepada mereka untuk mencari nafkah dan pada masa yang sama, memartabatkan bidang seni negeri Pulau Pinang.
“Ruang-ruang seni ini dapat diwujudkan dengan penyediaan ruang seperti astaka-astaka, kompleks dan tapak-tapak awam yang diselenggarakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihak swasta seperti pusat beli belah,” katanya lagi sambil mengingatkan semua pihak supaya terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI