ADUN syor larangan plastik sekali guna sebagai syarat lesen niaga makanan

Admin
be69301f 91f2 45cc 93a0 9a26c4ba6a8f TEH Lai Heng

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng mengesyorkan supaya Kerajaan Negeri melaksanakan larangan plastik sekali guna sebagai salah satu syarat bagi mendapatkan lesen perniagaan makanan dan minuman di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2025 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 25 November 2024.

“Saya menyeru penggunan plastik sekali guna seperti cawan, pinggan dan mangkuk di gerai makan haruslah dilarang, ia boleh dilaksanakan melalui syarat-syarat lesen perniagaan,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan syor tersebut bukan sahaja akan mengurangkan lagi penjanaan sampah di negeri ini, malah turut memanjangkan hayat Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sejak tahun 2009 lagi telah berjaya melaksanakan dasar pengurangan penggunaan plastik sekali guna, hingga diikuti oleh beberapa Kerajaan Negeri lain.

Pun begitu, beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PRK) sejak tahun 2020 menyaksikan penggunaan plastik sekali guna di Pulau Pinang kian meningkat.

Pada 22 November lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi membentangkan Belanjawan 2025 Pulau Pinang dengan tema ‘Ekonomi Madani, Rakyat Diperkasa, Negeri Sejahtera’.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota antara lain berkata Kerajaan Negeri hari ini komited menggalakkan pemindahan pengetahuan bernilai tinggi menerusi perkongsian awam-swasta (PPP) demi menfaat alam sekitar negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD