ADUN syor tambah baik Penang Sentral agar lebih efisien

Admin
be69301f 91f2 45cc 93a0 9a26c4ba6a8f TEH Lai Heng

GEORGE TOWN – Ekoran peningkatan jumlah pengguna perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan komuter di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi penggunaan yang lebih selesa dan lancar.

“Fasiliti sedia ada di stesen Butterworth dan Bukit Mertajam kini tidak lagi mampu menampung bilangan pengguna harian, terutamanya semasa waktu puncak dan hujung minggu.

“Perkara ini wajar diberi perhatian kerana perkhidmatan kereta api telah menjadi salah satu pengangkutan utama rakyat di negeri ini.

“Malah, tiket jadual perjalanan ETS dari KL Sentral ke Pulau Pinang dan sebaliknya sering habis terjual, hal ini telah menunjukkan sambutan yang memberangsangkan terhadap perkhidmatan KTM yang sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil syarikat,” katanya semasa sesi perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas dekat sini sebentar tadi.

Mengulas isu berkaitan, Lai Heng turut berharap Kerajaan Negeri dapat melaksanakan penambahbaikan dari segi kemudahan lif yang lebih mesra pengguna.

“Kemudahan lif ini adalah untuk golongan warga emas, OKU (orang kurang upaya), ibu mengandung dan keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai serta penumpang yang membawa bagasi besar.

“Di samping itu, penambahan kaunter daftar masuk dan keluar wajar dilakukan terutama sekali bagi mempercepatkan proses pengguna ketika waktu sibuk (peak hour).

“Penambahbaikan fasiliti seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan keselesaan pengguna, malahan juga berupaya mengukuhkan imej Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD