ADUN taja 250 tiket tonton filem dokumentari ‘M For Malaysia’

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari menaja sebanyak 250 keping tiket bagi menyaksikan tayangan filem dokumentari ‘M For Malaysia‘ di Golden Screen Cinemas (GSC), Gurney Plaza, semalam.

 

Ketika ditemui, Zairil memberitahu bahawa tajaan tersebut adalah sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September 2019 lalu.

 

“Secara kebetulan sempena meraikan sambutan Hari Malaysia tahun ini, filem dokumentari ini ditayangkan dan saya mengambil kesempatan menaja 250 (keping) tiket yang diberikan kepada orang ramai, malam ini.

 

“Saya harap para penonton dapat menghayati coretan sejarah yang dipertontonkan dalam merubah landskap politik negara pada tanggal 9 Mei (2018) dan selami mengapa rakyat Malaysia memilih untuk ubah.

 

“Bukan mudah untuk mencapai apa yang telah dicapai dan dalam era Malaysia Baru ini masih banyak yang perlu dilakukan…filem ini akan mengingatkan kembali detik-detik tersebut,” katanya yang turut teruja menontonnya.

 

Hadir sama, ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit.

 

Filem dokumentari ‘M For Malaysia’ berdurasi 90 minit adalah hasil arahan Ineza Roussille dan Dian Lee yang menceritakan tentang pembentukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Penonton dapat menyaksikan perubahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia buat julung kalinya selepas lebih 60 tahun.

 

Filem eksklusif ini juga akan mengembalikan ingatan rakyat Malaysia tentang harapan dan semangat perpaduan yang menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

 

Difahamkan, ‘M For Malaysia’ turut mendapat sambutan menggalakkan di peringkat antarabangsa selepas tayangan perdananya di CAAMFest di San Francisco, Amerika Syarikat dan DocEdge di New Zealand. Malah, filem ini juga akan ke festival filem terbesar di Asia iaitu Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) pada Oktober ini.

 

‘M For Malaysia’ mula ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara sehingga 18 September 2019.

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD