Afif letak jawatan Exco Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin meletakkan jawatan sebagai Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan berkuatkuasa serta-merta pada hari ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Afif ada bertemu dengannya pada awal pagi tadi serta menyerahkan surat letak jawatan tersebut.

“Seperti yang diketahui umum Dr. Afif sedang menghadapi siasatan kes disiplin dalam parti (PKR) yang belum habis dan belum ada apa-apa keputusan.

“Kenyataan saya pun jelas, dia masih ADUN PKR dan ADUN Pakatan Harapan.

“Dr Afif hanya meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri, tetapi beliau masih ADUN Pakatan Harapan sebab beliau masih ahli PKR,” jelasnya ketika menjawab soalan pemberita di Komtar pada 4 Mac 2020.

Kecuali Afif, semua barisan Exco Kerajaan Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar turut sertai sidang media tersebut.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa peletakan jawatan telah dimaklumkan dan diterima dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, tadi.

Langkah seterusnya, menurut beliau, adalah memaklumkan mengenai pengosongan jawatan Exco tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN & ALISSALAA THIAN