Afif seru nelayan teroka potensi industri akuakultur dalam menjana pendapatan tinggi

Admin
DR. Afif Bahardin (tengah) memerhatikan tiram yang dipegang oleh Dr. Aileen Tan Shau Hwai (kanan sekali) dan kakitangan CEMACS dalam sesi lawatan pagi tadi.

TELUK BAHANG – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyifatkan potensi industri akuakultur di Pulau Pinang belum diteroka sepenuhnya.

 

Justeru, katanya nelayan dan penggiat industri akuakultur perlu meneroka dan merebut peluang berkenaan yang dilihat mampu menjana pendapatan lebih lumayan kepada golongan berkaitan.

 

“Akuakultur sebenarnya boleh diperkenalkan kepada nelayan sebagai pendapatan tambahan, mungkin juga jadi pendapatan utama yang lebih lumayan selain bergantung kepada laut terbuka yang semestinya ada risiko.

 

“Industri akuakultur khususnya tiram, masih belum diteroka sepenuhnya lagi di sini dan kajian oleh CEMACS (Pusat Kajian Samudera dan Pantai) Universiti Sains Malaysia (USM) ini, saya yakin mampu memperkembangkan lagi industri ini,” ujar beliau ketika melakukan lawatan sulung ke CEMACS pagi tadi.

 

Turut hadir, Pengarah CEMACS, Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai dan Profesor Biologi dan Marin USM, Dr. Zulfigar Yasin.

 

Menurut Afif, setakat ini industri akuakultur di Pulau Pinang menjana pendapatan tertinggi di dalam Malaysia berbanding negeri lain dengan nilai RM1.3 bilion setahun.

 

“Difahamkan keperluan produk utama akuakultur iaitu tiram di Malaysia mendapat permintaan tinggi, namun cuma 14 peratus berjaya dipenuhi, selebihnya diimport dari New Zealand dan Australia.

 

“Kepada yang berminat boleh hubungi terus dengan pejabat saya atau CEMACS untuk memulakan dan meneroka industri baharu ini.

 

“Saya juga lihat Sungai Muda dan Sungai Kerian ada potensi besar untuk dimajukan sebagai industri akuakultur ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

 

Sementara itu, Shau Hwai ketika berucap memberitahu sehingga kini Pulau Pinang sememangnya ‘johan’ dalam penerokaan industri akuakultur.

 

“Di dalam penerokaan industri akuakultur, kami tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

 

Dalam lawatan tersebut, Afif dibawa melawat pusat kajian dan teranakan akuakultur seperti tiram, rumpai laut, belangkas, kerrang, timun laut, batu karang dan muzium marin

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD