GEORGE TOWN – Aspen Group (AG) melalui anak syarikat Aspen Vision City Sdn. Bhd. barubaru ini memeterai perjanjian pinjaman berjumlah RM196 juta dengan OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC) bagi membiayai pembangunan fasa pertama daripada keseluruhan projek Aspen Vision City di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.
Perjanjian yang menetapkan pinjaman berjangka bagi pembelian tanah dan pinjaman penyambungan untuk pembinaan pembangunan Aspen Vision City atau dikenali sebagai Verve tersebut bakal meliputi 35 ekar kawasan berpagar dengan 441 unit kedai dan pejabat bagi tujuan komersil serta perniagaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AG, Datuk M. Murly, kerja-kerja tanah fasa pertama telah dijalankan pada Mei lalu dan dijangka siap pada tahun 2018 bersama-sama dengan Ikea iaitu sebuah syarikat multinasional dan peruncit perabot terbesar di dunia, bagi wilayah utara tanahair.
“Sebelum ini, kami (AG) telah bersetuju untuk menjalinkan usahasama dengan Ikano Pte. Limited (Ikano) bagi pembangunan Ikea di Aspen Vision City dan kini usahasama ini dikukuhkan lagi dengan memeterai satu lagi perjanjian bersama OCBC.
“Bagi pembangunan Verve, kami (AG) mensasarkan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan fasa pertama menjelang akhir tahun ini dan dijadualkan siap pada 2018. Manakala, sasaran untuk melengkapkan keseluruhan projek pembangunan bercampur yang meliputi 245 ekar di Bandar Cassia ini adalah pada tahun 2025.
“Pastinya, kami (AG) bersedia untuk menjadi bandar satelit bersepadu, paling moden dan strategik di Malaysia apabila kesemua projek pembangunan siap kelak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Dwi Perjanjian bersama OCBC dan Columbia Asia Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.
Y.A.B Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng dan Pengerusi AG yang juga merupakan Pengarah Eksekutif AG, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff hadir menyaksikan majlis pemeteraian tersebut.
Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan).
Pengarah Urusan Ikano, Christian Rojkjaer, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC, Ong Eng Bin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, John Northen turut sama pada majlis bersejarah itu.
Dalam majlis sama, Columbia Asia Sdn. Bhd. (Columbia Asia) juga memeterai perjanjian pembelian dan pembangunan Hospital Columbia Asia iaitu rangkaian hospital di Asia di Batu Kawan bersama AG.
Melalui perjanjian tersebut, Columbia Asia bersetuju untuk melabur sejumlah RM185 juta bagi pembinaan dan pengendalian hospital pertamanya di Batu Kawan di atas tanah berkeluasan 1.2 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia (wilayah Asia Tenggara), Kelvin Tan memberitahu bahawa projek bakal dibangunkan adalah yang kedua di Malaysia selepas Taiping, Perak dan antara 28 buah hospitalnya yang terdapat di India, Indonesia dan Vietnam kini.
if (document.currentScript) {