Agama tidak wajar dipolitikkan untuk dapat undi rakyat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

DR. Sirajudin Syamsudin (kanan sekali) bersalaman dengan Anwar Ibrahim (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mansor Othman (tiga dari kanan), Abdul Malik Abul Kassim (hadapan, dua dari kiri) dan Datuk Abdul Halim Hussain (hadapan, kiri sekali) ketika menerima Tokoh Anugerah Khas sempena Maal Hijrah 1433H pada Persidangan Kesederhanaan Tulen yang diadakan di sini barubaru ini.
DR. Sirajudin Syamsudin (kanan sekali) bersalaman
dengan Anwar Ibrahim (dua dari kanan) sambil 
diperhatikan Mansor Othman (tiga dari kanan),
Abdul Malik Abul Kassim (hadapan, dua dari kiri) dan Datuk Abdul Halim Hussain (hadapan, kiri sekali) ketika menerima Tokoh Anugerah Khas sempena Maal Hijrah 1433H pada Persidangan Kesederhanaan Tulen yang diadakan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Keharmonian antara agama bukan sahaja memberikan suatu tahap penghormatan, malah, ia turut membuatkan seseorang lebih menghormati kepercayaan dan pegangan agama lain.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Ketua Menteri dalam ucaptamanya ketika hadir merasmikan Persidangan Kesederhanaan Tulen 2012 Kerajaan Negeri Pulau Pinang Sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa kesederhanaan tulen adalah keadilan, kebebasan, kesaksamaan, kebenaran, keinginan mencari ilmu pengetahuan dan keberanian.

“Oleh itu, kita perlu memahami teras keagamaan bukan sahaja agama yang kita amalkan, malah, agama yang diamalkan oleh setiap individu di dunia,” katanya.

Dalam persidangan julung kali diadakan itu, Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Indonesia, Profesor Dr. Sirajudin Syamsudin yang hadir memberi ucaptama turut dianugerahkan sebagai Tokoh Anugerah Khas sempena Maal Hijrah 1433H Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran dalam jurusan ‘Interdepartmental Programme in Islamic Studies’ dari UCLA, Amerika Syarikat adalah seorang tokoh Islam peringkat antarabangsa yang memperjuangkan prinsip keadilan, keamanan dan keharmonian dunia. Malah, pada 7 Februari lalu, beliau telah berucap di PBB mewakili umat Islam sedunia sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.

Hadir sama dalam persidangan tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; wakil-wakil ahli Majlis Syura Negeri, wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil pihak berkuasa tempatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri persidangan tersebut dan menyampaikan ucapan penangguhan di hadapan kira-kira 200 peserta persidangan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Persidangan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim berkata bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membentuk keharmonian dalam kalangan rakyatnya selaras dengan tuntutan semua agama yang mengutamakan keharmonian sesama insan.

“Buat permulaan, kita menjemput para ilmuan dan tokoh-tokoh keagamaan untuk sama – sama menyertai persidangan ini. Moga ianya dapat merapatkan jurang perbezaan kefahaman dan mengeratkan toleransi antara
kita,” katanya.

Turut berucap adalah, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang menyeru agar rakyat Pulau Pinang supaya terus mengamalkan sikap toleransi, menghargai kepelbagaian yang wujud dan menghormati perbezaan antara kaum. Hal ini, kerana katanya, hanya melalui toleransi kejayaan dalam mencipta sebuah negara bangsa akan tercapai.

“Wasatiyyah merupakan titik keseimbangan antara dua perkara. Contohnya, antara ketuhanan dan kemanusiaan, antara kerohanian dan zahir, antara fantasi dan realiti. Oleh itu, kita perlu memberi ruang dengan seadilnya tanpa membelakangkan sesuatu hak yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, bagi perwakilan Persekutuan Kristian Malaysia yang juga mewakili Malaysian Consultative Council for Christianity, Buddhism, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS), cawangan Pulau Pinang, Biskop Anthony Selvanayagam, beliau berpendapat bahawa dalam apa jua keadaan elemen keagamaan janganlah dijadikan sebagai senjata politik.

“Jangan politikkan agama untuk mendapat undi rakyat. Kita perlu ada rasa hormat-menghormati dan hindari diskriminasi, maka, kesefahaman akan wujud dan kesederhanaan tulen dapat dicapai,” tegas beliau yang menyeru agar hubungan erat dapat dijalinkan walaupun wujud perbezaan agama dan ideologi.