Agenda Ekonomi Malaysia buat Pulau Pinang

Admin

(Artikel ini diterjemahkan secara bebas dari penulisan Din Merican yang bertajuk ‘A Malaysian Economic Agenda For Penang’)

SEBAIK sahaja Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak akan diguna pakai lagi di negeri tersebut, akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia (rujuk pautan utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm) menyiarkan kenyataan beliau sebagai berita muka hadapan, lantas membuka ruang buat pemuka-pemuka UMNO untuk menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang baru dibentuk itu.

Utusan Malaysia sebetulnya gagal untuk mendedahkan realiti sebenar yang berlaku bahawa bangsa Melayu sebenarnya sudah pun lama dipinggirkan dan berada dalam kemiskinan yang teruk sepanjang berada di bawah pentadbiran Gerakan-UMNO. Kecuali di kawasan Balik Pulau, bangsa Melayu sebenarnya sudah tidak punyai tanah yang boleh dianggap milik mereka. Daripada sebuah masyarakat yang memiliki tanah, bangsa Melayu kini hanya mendiami rumah-rumah pangsa yang sempit. Hakikatnya, DEB sebetulnya sudah menemui ajalnya di Pulau Pinang lama dahulu iaitu apabila UMNO sendiri gagal berfungsi sebagai pembela hak Melayu di negeri tersebut.

DEB merupakan polisi tindakan afirmatif yang dilancarkan pada tahun 1970 dengan objektif untuk mengurangkan kemiskinan serta membina semula ekonomi negara. Sepanjang tempoh pelaksanaannya, rejim UMNO-BN telah menggunakan polisi ini untuk mencipta sistem politik naungan yang memberi kelebihan dan keistimewaan kepada beberapa kerat Bumiputera yang memiliki jaringan dengan elit kuasa dalam UMNO. Kesan daripada penyalahgunaan DEB ini juga kemudiannya melahirkan “kapitalis Melayu palsu” yang diasaskan melalui sistem naugan, kronisme dan nepotisme.

Pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan dengan DEB telah dinyatakan dengan jelas di dalam manifesto pilihanraya yang bertemakan Harapan Baru Untuk Malaysia:

“…Dasar Ekonomi Baru haruslah digantikan dengan agenda ekonomi yang berhasrat membantu dan mengembalikan maruah semua rakyat yang miskin, tidak kira kaum atau latar belakang mereka. Dengan ini, golongan elit yang kaya-raya tidak lagi akan boleh memperguna dasar yang sedia ada untuk lebih memperkayakan diri mereka lagi – sebaliknya, orang Melayu yang sememangnya merupakan majoriti golongan miskin Malaysia akan mendapat bantuan sepenuhnya, bersama-sama saudara mereka dari kaum India, Kadazan, Cina, Iban, Orang Asli dan lain-lain.

…Dasar afirmatif yang berasaskan sepenuhnya kepada ras dan bangsa, seperti yang diterjemahkan melalui Dasar Ekonomi Baru, telah terbukti kelemahannya yang ketara dengan penindasan yang dialami oleh sekalian rakyat Malaysia. Masih ada Melayu yang kaya dan Melayu yang miskin, Cina yang kaya dan Cina yang miskin, India yang kaya dan India yang miskin, demikianlah seterusnya.”

Prinsip asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah “peluang yang saksama perlu disediakan untuk setiap rakyat Malaysia, peluang untuk belajar, peluang untuk memperoleh hidup yang senang, dan peluang untuk mencapai impian”. PKR akan turut mempertahankan peruntukan Artikel 153 dan juga hak semua warga Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang dikesalkan ialah tindakan tidak bertanggungjawab serta berniat jahat dari pihak Utusan Malaysia yang mula memainkan sentimen perkauman sebaik sahaja rejim UMNO-BN menerima kekalahan teruk dalam pilihanraya umum baru-baru ini.