GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus memperkasa agenda Malaysia Madani berdasarkan acuan kebudayaan Melayu dan rukun-rukun penting dalam agama Islam di negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata demikian sebelum menyempurnakan acara penyampaian cek replika RM315,000 peruntukan Kerajaan Negeri kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk diagihkan kepada 630 penghafal Al-Quran (huffaz) di negeri ini.
“Penghafal Al-Quran mempunyai kedudukan tersendiri dalam Islam yang mana selepas kewafatan Rasulullah S.A.W sampai pada zaman awal Khulafah Ar-Rasyidin adalah para sahabat seperti Abdullah ibnu Saad, Uthman ibnu Affan, Ali ibnu Abi Talib, Ubai ibnu Kaab, Zaid ibnu Thabit dan Muawiyah ibnu Abi Sufyan iaitu secara rasmi ditugaskan menulis Al-Quran secara bacaan standard bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Walaupun zaman telah berubah, peranan Huffaz masih relevan dalam mendirikan masyarakat.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan memperkasakan agenda memartabatkan Al-Quran selari dengan konsep Malaysia Madani berdasarkan acuan budaya bangsa dan agama Islam di Pulau Pinang,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini.
Menurut Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu lagi, tujuan Kerajaan Negeri hari ini memberikan peruntukan sumbangan berkaitan adalah bagi membantu pihak sekolah terpilih untuk penyediaan keseluruhan ekosistem yang lebih baik sekaligus memangkin lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang.
“Pada tahun 2023 umpamanya, sebanyak RM3,500,138 telah diperuntukkan untuk tujuan sama dan Kerajaan Negeri berharap proses ini dapat dipercepatkan pada tahun hadapan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: PEJABAT TKMI