Agenda pemerkasaan wanita selari Visi Penang2030 diteruskan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Sejajar Visi Penang2030, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus memperkasa pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender dalam kalangan warga negeri ini.

Malah, Sidang Wanita Pulau Pinang yang berjaya melahirkan ramai pemimpin termasuk dalam arena politik akan terus diperkasakan di negeri ini.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata demikian semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.

“Kejayaan Sidang Wanita jelas dilihat apabila peserta Sidang Wanita menjadi calon Pilihanraya di Pulau Pinang dan Kedah bagi Pilihan Raya Negeri yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu.

“Selain itu, seramai 12 alumni Sidang Wanita juga telah berjaya menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim berkata pihaknya memberitahu bahawa penubuhan Penang Women Entrepreneur Mentoring Programme (PWEMP) kerana Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) mahu melahirkan lebih ramai usahawan wanita.

“PWEMP ditubuh bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya di negeri ini, peserta akan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor usahawan yang berpengalaman.

“Di samping itu, PWDC juga turut menjalankan program Wanita Jana Rezeki (WJR) yang bertujuan membantu wanita, khususnya ibu tunggal dan golongan berpendapatan 40 peratus rendah (B40) dalam menjana pendapatan.

“Justeru, program PWEMP dan WJR seiring dalam menyediakan peluang dan platform bagi peserta untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui pameran dan karnival serata negeri,” jelasnya sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN