Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN LILIAN
TANJUNG TOKONG – Di sebalik senyuman yang dilemparkan ibu tunggal, Anne Katherine, 34, siapapun pasti tidak menjangka bahawa beliau merupakan salah seorang mangsa keganasan rumahtangga yang terpaksa menyara tujuh cahaya mata dengan tulang empat keratnya.
Anne yang juga merupakan bekas penuntut pengajian undang-undang (terpaksa berhenti kerana berkahwin di usia 20 tahun) di salah sebuah universiti tempatan bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kesempitan hidup, malah, beliau terpaksa menyara tujuh orang anaknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun.
Simpati dengan nasib yang menimpanya, Buletin Mutiara berkesempatan berkunjung ke kediamannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi baru-baru ini.
Menurut Lydia, berbeza dengan kunjungan sebelumnya, kunjungan beliau kali ini membawa berita gembira kepada keluarga Anne.
“Tiga individu telah bersetuju untuk membiayai kos sewa rumah yang berjumlah RM450.00 sebulan selama satu tahun. Mereka ialah orang-perseorangan, Lena Leong, Joyce Lee dan Daisy Ooi,” ujar Lydia.
Tambahnya, pemberian bantuan tersebut merupakan salah satu cara bagi membantu meringankan bebanan yang dipikul oleh mangsa keganasan rumahtangga selain mencari badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa dari segi kewangan.
Anne yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kini ternyata terharu dengan bantuan yang diberikan dan berterima kasih kepada Lydia yang prihatin dengan nasib dialaminya.
Dalam pada itu, Lydia berpendapat agar ada agensi-agensi pekerjaan yang mewujudkan sebuah sistem jalinan padanan kerjaya kepada ibu-ibu tunggal supaya mereka dapat bekerja dan menyara keluarga tanpa perlu memikul bebanan mental yang serius.
“Tidak perlu beri mereka wang ringgit setiap bulan, sebaliknya, sediakan peluang pekerjaan yang lebih terjamin kepada ibu-ibu tunggal dan mangsa keganasan rumahtangga supaya mereka mempunyai ruang untuk menyara keluarga,” tegas Lydia ketika diajukan soalan berkenaan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga berkenaan.
Lanjutan itu, beliau turut mencadangkan supaya peluang pekerjaan yang diberikan kepada ibu-ibu tunggal dan mangsa keganasan rumahtangga mempunyai fleksibiliti bukan sahaja dari segi masa, malah, lokasi kerja turut diberi perhatian.
“Benarkan mereka bekerja dari rumah kerana ini mampu memberi mereka peluang menjaga anak dan bekerja dalam suatu masa,” ujar Lydia.
Terbaru, salah sebuah NGO tampil memberi tunjuk ajar kepada anak sulung Anne, Victoria, 15, tentang cara-cara pembuatan sabun dengan menggunakan bahan-bahan asas seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Sabun-sabun yang terhasil akan dijual di pasaraya terpilih di Pulau Pinang dan setiap hasil jualan akan disalurkan semula kepada pembuatnya.
Malah, setiap sabun turut memilik label khas bagi membantu mangsa keganasan rumahtangga. Selain itu, tambah Lydia lagi, sumbangan yang diterima oleh Anne dari JKM berjumlah RM450 sebulan dan dari Gereja Katholik (RM200) adalah tidak mencukupi memandangkan perbelanjaan sebulan keluarga tersebut dianggarkan berjumlah RM1,500.
“Oleh itu, kita merayu sekiranya ada pihak yang ingin tampil memberikan bantuan boleh menghubungi pejabat saya di talian 04-650 5137 atau 04-650 5419 atau emelkan kepada [email protected].,” ujar Lydia.