SEBERANG JAYA – Pelajar-pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan untuk aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.
Nasihat tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi Tahun 2018/2019 Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat SP Arena di sini baru-baru ini.
“Selain menggunakan buku dan teknologi (untuk pembelajaran), para pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum di universiti bagi membina jati diri dan belajar perkara-perkara yang mungkin kita tidak dapat pelajari menerusi buku seperti soft skill serta kemahiran komunikasi yang dilihat adalah sangat penting.
“Mengikut kajian, mahasiswa mahasiswi yang mencapai kecemerlangan dari segi markah peperiksaan, apabila tamat pengajian dan berhadapan dengan orang yang diteruramah, didapati ramai dalam kalangan lepasan universiti kita adalah lemah pada aspek soft skill, kemahiran berkomunikasi, berinteraksi serta sebagainya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada majlis berkaitan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merangkap ADUN Seberang Jaya dan ADUN Berapit, Heng Lee Lee.
Selain itu, mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kemahiran dan soft skill yang dipelajari merupakan pelengkap kepada apa yang dipelajari dalam bidang akademik.
“Oleh itu, saya berharap para pelajar semua dapat mengagihkan masa yang sesuai untuk mengikuti kegiatan kokurikulum… banyak persatuan yang kita boleh anggotai, dari situlah kita dapat faedah yang mungkin tidak diperoleh daripada buku,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.
Difahamkan, bagi insentif kemasukan ke IPT sesi September 2018, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM2,226,200 melibatkan 2,218 pelajar bagi seluruh negeri Pulau Pinang, manakala bagi peringkat SPT adalah berjumlah RM567,800.
Para pelajar menerima insentif RM1,000 bagi IPT Awam/Swasta di Semenanjung dan IPT Awam/Swasta Sabah dan Sarawak (RM1,200).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD