Agihan bekalan air lancar, kebanyakan perniagaan di Machang Bubok masih beroperasi

img 20240110 wa0149

MACHANG BUBOK – Program agihan air di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubok berjalan lancar pada hari pertama gangguan bekalan air yang dijadualkan selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 Januari 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon ketika ditemui memberitahu bahawa sebanyak 44 unit tangki berkapasiti 400 gelen (22) dan 1,000 gelen (22) telah ditempatkan di sekitar kawasan berkenaan.

“Sebagai makluman, kita mempunyai 22 tangki air berisipadu 400 gelen yang diletakkan di lokasi-lokasi strategik khususnya di kawasan rumah pangsa yang dihuni penduduk berpendapatan rendah (B40) serta tidak mempunyai pam air di tangki masing-masing.

“Selain itu, sebanyak 22 unit tangki yang disediakan oleh empat Persatuan Bomba Sukarela (PBS) di sekitar Machang Bubok berisipadu 1000 liter turut ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan awam.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada PBS Machang Bubok, PBS Taman Sukun, PBS Jalan Rozan dan PBS Permatang Tinggi kerana telah membantu mengisi air di tangki-tangki yang disediakan sejak 8 Januari lagi,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara dekat Flat Taman Sri Janggus di sini petang tadi.

img 20240110 wa0145

img 20240110 wa0165

img 20240110 wa0161

img 20240110 wa0163

img 20240110 wa0141

img 20240110 170244

img 20240110 wa0139

Mengulas lanjut, Khai Loon berkata PBS Machang Bubok mempunyai dua jentera berkapasiti 13,000 liter dan 3,000 liter yang digunakan untuk menyalurkan air ke tangki-tangki yang disediakan manakala tiga PBS lagi mempunyai jentera lebih kecil.

“Pengisian air di tangki-tangki akan dibuat semula mengikut keperluan yang mana kita telah menugaskan sukarelawan untuk memantau air di dalam tangki setiap sejam sekali bagi memastikan tangki sentiasa terisi.

“Sekiranya air di tangki hampir habis, mereka perlu melaporkan kepada pihak kami melalui Google Form yang kita sediakan dan PBS akan datang untuk mengisinya semula,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai Flat Taman Sri Janggus, Khai Loon memberitahu bahawa sebanyak enam unit tangki air berisipadu 400 gelen secara khusus telah ditempatkan di kawasan tersebut bagi menampung keperluan penduduk.

“Untuk hari pertama, kita bersyukur kerana agihan air di sini terkawal dan berjalan lancar memandangkan penduduk telah membuat persediaan awal dengan menyimpan air.

“Ini kerana daripada maklumat yang diterima, kawasan Flat Taman Sri Janggus sudah mengalami masalah tekanan air rendah dan terputus bekalan air sejak 8 Januari lagi.

“Di kawasan-kawalan lain setakat ini kita belum menerima apa-apa aduan lagi berkaitan kekurangan bekalan air memandangkan kerja-kerja mengisi semua tangki telah selesai dijalankan sejak jam 8 malam pada 9 Januari lalu,” ujarnya lagi.

Selain tangki-tangki yang disediakan oleh Pejabat KADUN Machang Bubok dan PBS, Khai Loon menyatakan bahawa sebuah tangki flexi berkapasiti 24,000 liter juga turut disediakan hasil sumbangan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

“Terima kasih diucapkan kepada YB Steven kerana menyediakan tangki flexi berkapasiti 24,000 liter yang diletakkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok bagi membolehkan lori-lori tangki milik PBS mengisi air untuk diagihkan kepada pengguna mengikut jadual.

“Secara keseluruhannya, di KADUN Machang Bubok keadaan nampaknya terkawal kerana penduduk yang tidak menyimpan air juga telah dibantu melalui penyediaan air di tangki-tangki untuk membolehkan mereka menggunakannya.

“Air di tangki-tangki yang kita sediakan adalah sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti mandi dan mencuci kecuali untuk air minuman.

“Oleh kerana kawasan Machang Bubok dijangka mengalami gangguan air selama 48 jam, jadi kita sudah meminta setiap penduduk supaya menyediakan air minuman sekurang-kurangnya 60 liter.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama berdoa agar kerja-kerja membaiki injap paip di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua berjalan lancar dan bekalan air dapat disalurkan kembali seperti yang dirancang,” ujarnya.

Ditanya mengenai sektor peniagaan di sekitar Machang Bubok, beliau memaklumkan bahawa kebanyakan premis perniagaan di kawasan tersebut masih beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ong Jing Cheng yang turut hadir berkata bahawa pasar-pasar awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih lagi berjalan seperti biasa.

“Ini kerana pasar-pasar awam milik MBSP biasanya mempunyai tangki masing-masing manakala pasar awam yang tidak mempunyai tangki sendiri, tangki-tangki telah disediakan oleh MBSP,” katanya.

Jing Cheng berkata, disebabkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengeluarkan notis sebulan lebih awal maka kebanyakan penduduk negeri ini dilihat telah mengambil langkah proaktif dengan menyimpan bekalan air secukupnya.

“Kebanyakan penduduk telah bersedia menghadapi situasi ini, maka tidak ada terlalu banyak aduan mengenai masalah agihan bekalan air yang kita terima setakat ini” katanya sambil memuji langkah Kerajaan Negeri menukar paip-paip injap 1,200 milimeter yang dilaksanakan ketika ini demi memastikan kelangsungan bekalan air di negeri ini terjamin.

Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan Buletin Mutiara petang tadi, kebanyakan premis perniagaan seperti warung penjaja, kedai makan, restoran makanan segera serta kedai mencuci kereta di sekitar Machang Bubok masih lagi beroperasi.

Selain Machang Bubok, aktiviti perniagaan termasuk kedai makan di sekitar kawasan Tasek Gelugor dan Kepala Batas juga masih lagi berjalan.

Kebanyakan peniaga kedai makan mengambil inisiatif menggunakan pinggan yang dilapisi kertas pembalut serta cawan plastik untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan bagi menjimatkan bekalan air.

Selain itu, beberapa orang penduduk yang ditemui di sekitar kawasan Kampung Benggali, Teluk Air Tawar menyatakan bahawa mereka masih mendapat bekalan air dari tangki simpanan pangsapuri masing-masing yang dijangka mampu bertahan selama tiga hari lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAN