Agihan elaun khas berdasarkan senarai nama JKNPP, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri diiringi Abdul Halim Hussain (kiri) dalam sidang media, selepas acara perasmian International Inspirasi Khajidah 2020 di sini pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Berdasarkan senarai nama yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Kerajaan Negeri pada bulan Mac dan April lepas lagi telah menyalurkan elaun khas kepada anggota barisan hadapan yang bertugas dalam melawan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa adalah di luar pengetahuannya jika masih ada pertukaran keanggotaan barisan utama baharu yang bertugas bagi tempoh bulan Mei hingga Disember ini dan tercicir dalam senarai nama yang disediakan oleh jabatan berkenaan.

Perjelasan itu sekaligus menjawab pelaporan berita tertentu berhubung masih ada anggota barisan hadapan JKNPP yang bertugas sejak bulan Mac, namun langsung tidak menerima bayaran elaun khas daripada Kerajaan Negeri.

“Mereka telahpun dibayar elaun khas pada bulan April… maka, tidak diketahui anggota barisan hadapan baharu yang bertugas pada bulan Mei, Jun hingga Disember.

“Justeru, ini adalah penyusunan keanggotaan secara dalaman oleh JKNPP sendiri,” respons beliau di sini pada 12 Disember 2020.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawana, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Pengerusi Penang Halal International (PHI) turut sertai sidang media tersebut.

Sebelum pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Komunikasi menyempurnakan acara perasmian persidangan e-dagang ‘International Inspirasi Khadijah 2020’, anjuran PHI dengan penglibatan usahawan global dari 78 negara secara dalam talian.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS