Agong tiba di Pulau Pinang untuk lawatan kerja selama tiga hari

Admin

BAYAN LEPAS – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Pulau Pinang hari ini untuk melakukan lawatan kerja selama tiga hari.

Banginda dan permaisuri yang menaiki penerbangan khas berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 10.00 pagi.

Keberangkatan tiba pasangan diraja tersebut disambut oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri serta para ketua jabatan kerajaan.

Ini merupakan lawatan julung kalinya baginda berdua ke Pulau Pinang selepas Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.

Sultan Abdullah kemudiannya akan berangkat merasmikan Masjid Masjid Al-Bukhary dekat Persiaran Karpal Singh sebelum menunaikan Solat Jumaat dan menyampaikan sumbangan kepada pihak pengurusan masjid serta kanak-kanak.

Sementara itu, Permaisuri Agong mempunyai jadual berasingan di Hotel Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa dengan diiringi Toh Puan Majimor Sharif dan isteri ketua menteri untuk majlis santapan tengah hari Raja Permaisuri Agong bersama-sama kepimpinan wanita Pulau Pinang.

Pada sebelah malam, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri majlis santapan Diraja bersama-sama TYT dan isteri dekat The Top, Komtar di sini dengan turut disertai Ketua Menteri, barisan Exco serta para tetamu kenamaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS