GEORGE TOWN – Di bawah satu tonggak pemerintahan yang sama di peringkat negeri dan Pusat memberi lebih peluang kepada Kerajaan Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan sumber serta kekuatan yang ada bagi membantu Pulau Pinang mencapai kemajuan yang lebih baik, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, PBT negeri iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) seharusnya bijak menggunakan peluang dan jalinan berkaitan bagi membawa lebih limpahan kepada Pulau Pinang.
“Pihak PBT mahupun Ahli-ahli Majlis seharusnya gunakan kebijaksanaan serta menjalinkan pertalian erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan negeri Pulau Pinang menjadi platform untuk semua Kementerian mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu yang dirancang di sini (Pulau Pinang).
“Kita (Pulau Pinang) merupakan sebuah negeri matang yang mana kita (Pulau Pinang) boleh dijadikan sebagai platform untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu ini.
“Justeru, saya menyeru semua Ahli Majlis dilantik agar memberikan sepenuh usaha dan kerjasama bagi menyahut penanda prestasi yang telah digariskan dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang dua kali ganda lebih bersih, hijau, sihat, selamat dan gembira berbanding kini,” ucapnya dalam Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBPP Tahun 2020 di Dewan Bandaraya dekat sini pagi ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman; Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa); Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan);Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar MBPP).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Dato’ Sr. Rozali Mahmud (Datuk Bandar MBSP) dan Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya MBPP) antara yang turut serta pada majlis lafaz terima jawatan berkenaan.
Pelantikan Ahli Majlis MBPP bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2020 memperlihatkan 11 muka baru dan lantikan semula (13) dengan keseluruhannya 24 Ahli Majlis.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut menggariskan beberapa tumpuan Kerajaan Negeri bagi tahun 2020 yang perlu dititik beratkan.
Jelasnya, antara beberapa bidang yang menjadi tumpuan utama tahun ini adalah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), digitalisasi Pulau Pinang, pelaburan, urus tadbir dan kewangan serta kesejahteraan rakyat.
“2019 adalah tahun yang amat rancak dengan pelbagai kelulusan projek pembangunan diperoleh, malah negeri turut mencatat sejumlah RM13.3 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2019 (Q3 2019) yang mana jumlah ini adalah bersamaan dengan tempoh 20 tahun (pelaburan).
“Ia merupakan satu pencapaian buat Pulau Pinang… yang menuntut pelbagai usaha perlu dilipat gandakan dan pada tahun 2020 ini, ia akan menjadi tahun pelaksanaan pelbagai projek terutamanya PTMP.
“Saya berharap ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya pintar, pihak Kerajaan Negeri dan PBT dapat menjalankan pelbagai inisiatif dengan penambahbaikan infrastruktur sedia ada dan… apa yang lebih penting adalah supaya kita (Kerajaan Negeri) dapat menjana kewangan mencukupi bagi membiayai serta merancakkan lagi pembangunan di Pulau Pinang.
“Namun, semua usaha ini akan jadi sia-sia jika ia tidak membawa kesejahteraan kepada rakyat, justeru dalam menjalankan tugas, saya berharap para Ahli Majlis akan memberi tumpuan bagaimana cara untuk menjalinkan toleransi, harmoni serta persefahaman sekaligus menjurus kepada peningkatan tahap kualiti kehidupan dan persefahaman antara kaum di negeri ini,” seru beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI