Ahli Majlis kutip wang perlindungan tidak benar

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Dakwaan dikeluarkan melalui salah sebuah blog bahasa Cina, http://imagnews.com.my, menyatakan bahawa tiga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini meminta wang pelindungan daripada para peniaga bunga di Jalan Kapitan Keling adalah tidak benar.

Kenyataan tersebut dinyatakan wakil peniaga-peniaga bunga terbabit, S. Ragindran di sini baru-baru ini.

Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Selama lebih 20 tahun di sini, tiada seorang ahli majlis pun datang dan minta wang pelindungan daripada kami peniaga-peniaga bunga di sini.

“Tidak tahu apa tujuan dakwaan tersebut dibuat, tetapi bagi pihak peniaga-peniaga bunga di sini, dakwaan itu adalah palsu,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Pada 24 Disember lalu, artikel ‘DAP Councillor Solicits for Protection Money from Poor Traders’ mendakwa bahawa Ahli Majlis MPPP meminta sejumlah wang sebagai pelindungan kepada peniaga-peniaga di Jalan Kapitan Keling di sini.

Walau bagaimanapun, pada hari sama, tiga Ahli Majlis MPPP berkaitan, Ong Ah Teong, Tahir Jalaluddin Hussain dan Prem Anand tampil membuat laporan polis berkaitan dakwaan tersebut.

Ragindran memberitahu, ahli majlis banyak membantu mereka (peniaga bunga).

“Saya harap blog berkenaan (http:// imagnews.com.my) menghentikan tuduhan yang tidak berasas ini hanya demi kepentingan politik
mereka semata-mata dan harap pihak berkuasa dapat menyiasat kes ini dengan kadar segera,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Little India, N. Balakrishnan yang juga merupakan salah seorang peniaga bunga di kawasan tersebut memberitahu, semua peniaga di sini membayar kadar sewaan biasa sebanyak RM30 kepada MPPP setiap bulan.

S. Ragindran (dua dari kiri) bersama-sama sebahagian pengusaha bunga di Jalan Masjid Kapitan Keling menunjukkan kenyataan media menyangkal dakwaan palsu blog imagnews.com.my di sini baru-baru ini.
S. Ragindran (dua dari kiri) bersama-sama sebahagian pengusaha
bunga di Jalan Masjid Kapitan Keling menunjukkan kenyataan
media menyangkal dakwaan palsu blog imagnews.com.my di
sini baru-baru ini.