SEBERANG JAYA – Seramai 24 individu termasuk enam muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tempoh mulai 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025.
Semua Ahli Majlis mengangkat sumpah penerimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.
Turut menyaksikan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.
Enam Ahli Majlis baru dilantik termasuk empat muka baru iaitu Azman Rahim, Yeoh Kim Kim, Mohamad Aisamuddin Mohamad Kaman dan Zulkifli Md. Yusop daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Manakala Lim Eng Nam yang juga daripada PKR dan Zulkiply Ishak (Parti Amanah Negara, Amanah) merupakan lantikan semula.
Pelantikan Ahli Majlis bagi MBSP menyaksikan 10 individu adalah daripada Parti Tindakan Demokrasi (DAP), sembilan (PKR), dua (Amanah) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO, 1).
Semasa berucap, Kon Yeow mengingatkan semua Ahli Majlis agar sentiasa memberikan keutamaan kepada kepentingan penduduk di Seberang Perai dan seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Beliau berkata, semua Ahli Majlis serta penjawat awam negeri juga perlu menjalankan tugas dengan lebih proaktif bagi memastikan Visi Penang2030 dapat dicapai.
“Tahun 2025 bermulanya separuh akhir penggal terakhir bagi saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sekali gus memasuki fasa ketiga pelaksanaan Visi Penang2030.
“Saya berharap semua Ahli Majlis serta penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih progresif dan proaktif bagi memastikan Visi Penang2030 dapat dicapai, terutamanya Inisiatif Strategik C4 iaitu Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi.
“Inisiatif Strategik C4 ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri pada peringkat Persekutuan.
“Ia merupakan asas kepada pembaharuan institusi yang penting untuk menangani cabaran penjawat awam bagi menambah baik tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memupuk kesaksamaan sosial, seterusnya mengukuhkan institusi Kerajaan bagi mewujudkan negara yang lebih makmur, adil serta berdaya tahan,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa kecekapan merupakan antara kualiti yang perlu digalas sebagai Ahli Majlis serta penjawat awam sepanjang perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
“Saya berharap semua Ahli Majlis yang dilantik sentiasa memudahcara serta mempercepatkan urusan mengikut tatacara yang betul dalam menjalankan tugas.
“Jangan sesekali menangguh atau melambat-lambatkan urusan kerana perbuatan tersebut akan mencerminkan kualiti Kerajaan Negeri termasuk MBSP dalam melaksanakan amanat rakyat,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sementara itu, Mooi Lye memberitahu bahawa beliau meletakkan harapan yang besar terhadap barisan Ahli Majlis MBSP yang dilantik bagi penggal 2025.
“Tahun 2025 dijangkakan lebih mencabar dengan pelbagai ketidaktentuan global dalam ekonomi dan teknologi serta isu perubahan iklim yanh perlu ditangani dengan berkesan.
“Pada September lalu, kejadian ribut kencang telah berlaku di Seberang Perai dan banyak aduan berkaitan pokok tumbang diterima oleh pihak MBSP.
“Kejadian seperti ini sudah pasti akan berulang lagi, dan saya memohon kerjasama semua Ahli Majlis agar dapat membantu MBSP membuat pemantauan di kawasan masing-masing.
“Langkah ini akan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan pencegahan dan berjadual dapat dilaksanakan bagi mengelakkan risiko kejadian pokok tumbang berlaku.
“Justeru, saya berharap agar Ahli Majlis yang dilantik dapat bersama-sama menggembleng tenaga dan kepakaran dalam membantu pentadbiran MBSP memacu ke arah kejayaan,” katanya yang juga ADUN Jawi.
Baderul Amin dalam pada itu menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis yang telah dilantik.
Beliau turut berharap agar semua Ahli Majlis dapat bekerjasama dengan MBSP untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS