Ahli Majlis perlu jadi wakil & perantara masyarakat, pesan KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI  

GEORGE TOWN – Ahli Majlis – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disarankan agar tidak ‘bersembunyi’ dalam melaksanakan tanggungjawab digalas terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucaptama di Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MBPP berkata, selain disiplin yang tinggi, ahli majlis juga perlu bersikap profesional dalam mendepani karenah masyarakat terutamanya pembayarpembayar cukai di Pulau Pinang.

“Peranan yang dimainkan oleh Ahli Majlis adalah amat luas dan bukan hanya sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ MBPP, tetapi juga Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.

“Selain mewakili masyarakat, Ahli Majlis juga menjadi perantara antara masyarakat dengan kerajaan, di samping mempertahankan dasar-dasar yang telah dipersetujui oleh MBPP dan Kerajaan Negeri,” ucapnya di Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, barisan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud yang mewakili Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif serta ketua-ketua jabatan MBPP.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika ditemui berharap agar semua Ahli Majlis yang dilantik dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri iaitu menjadikan tahun 2016 sebagai Year of Transformative Change.

“Saya berharap mereka (Ahli Majlis) dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang berlandaskan dua teras utama iaitu penyampaian dan prestasi atau ringkasnya DAP, Delivery and Performance,” ujar beliau.

Sementara itu, muka baru, Saiful Azwan Abdul Malek menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kepercayaan kepimpinan parti diwakili terhadapnya.

“Saya berharap dengan lantikan ini, saya dapat mendekati masyarakat dan memahami masalah yang dihadapi mereka terutama (masyarakat) di luar bandar, sama ada dari segi sosio ekonomi mahupun peningkatan taraf hidup sejajar dengan harapan Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri berjiwa rakyat,” katanya yang pernah menjadi Pegawai Seranta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Bagi Grace Teoh Koon Gee dan D. Kala yang juga lantikan baru, masing-masing bertekad untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Pastinya rasa bersemangat untuk memulakan tugas dan berkhidmat kepada komuniti,” kata Koon Gee yang turut dipersetujui Kala.

Bagi Syerleena Abdul Rashid, beliau bersyukur setelah dilantik sebagai Ahli Majlis buat penggal kedua tahun ini.

“Sekali lagi, saya diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan seperti yang telah disebutkan oleh Ketua Menteri, tahun 2016 merupakan tahun bertransformasi dan saya pasti, pihak MBPP serta rakan-rakan sejawat yang lain akan melaksanakan tanggungjawab dengan efisien selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus),” jelasnya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas upacara angkat sumpah terima jawatan berkaitan.

Nada sama turut dikongsi oleh A. Kumaresan yang dilantik semula sebagai Ahli Majlis MBPP bagi dua penggal berturut-turut.

“Bagi lantikan kali ini, saya berhasrat untuk mengadakan beberapa siri dialog dan sesi penerangan melibatkan isu-isu setempat sama ada penambahbaikan kemudahan mahupun dasar-dasar Kerajaan Tempatan,” ujarnya.

Seramai 24 Ahli Majlis MBPP termasuk tujuh lantikan baru mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Rakyat (AMANAH) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat sumpah menerima jawatan di hadapan Ketua Menteri mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11, Akta Kerajaan Tempatan 1976 di sini baru-baru ini.