Ahli Parlimen gesa kerajaan tangani isu keselamatan data peribadi pengguna

Admin

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula isu penjagaan data peribadi dan identiti rakyat di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kes kecurian identiti yang menimpa seorang pemuda, Ang Siang Ping, 26 sehingga terpaksa berdepan tindakan mahkamah berikutan maklumat peribadi miliknya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk perjanjian penyewaan dua premis di Bukit Mertajam dan Butterworth.

“Difahamkan, mangsa telah kehilangan kad pengenalan pada tahun 2017 dan dijumpai semula beberapa hari kemudian.

“Tiba-tiba pada tahun lepas, mangsa diberitahu bahawa dia berhutang dengan pemilik sebuah premis kerana penggunaan bil elektrik yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM230,611.

“Pada tahun lepas juga, dia menerima saman mahkamah kerana didakwa telah mengubah suai meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyebabkan kerugian kepada pemilik premis sebanyak RM234,747.

“Dalam kes ini, identiti mangsa telah disalahgunakan untuk memasuki perjanjian dengan dua buah premis dan pemasangan meter elektrik di salah sebuah premis tersebut tanpa pengetahuan mangsa.

“Jadi, apa yang saya nampak di sini adalah terlalu mudah bagi pihak-pihak tertentu menggunakan identiti seseorang untuk melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

“Oleh itu, saya menggesa agar Kerajaan Persekutuan dapat melakukan sesuatu bagi menangani masalah kecurian identiti seperti ini,” katanya pada sidang media yang diadakan dekat Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di sini pagi tadi.

Pada masa sama, Chee Keong turut meminta masyarakat di negara ini supaya lebih peka terhadap penjagaan data peribadi dan identiti masing-masing.

“Kita perlu menjaga dokumen-dokumen penting terutamanya kad pengenalan, lesen memandu, sijil kelahiran dan sebagainya kerana ia boleh disalahgunakan untuk kegiatan kecurian identiti,” katanya lagi.

Ang Siang Ping.

Sementara itu, Siang Ping berkata dia kini terpaksa menanggung hutang hampir RM500,000 dengan TNB selepas identitinya disalah guna termasuk didakwa telah mengubah suai meter untuk aktiviti perlombongan mata wang elektronik bitcoin.

Menurutnya, dia tidak pernah menandatangani perjanjian menyewa kedua-dua premis berkenaan apatah lagi mendaftar namanya untuk pemasangan meter elektrik dengan TNB.

Siang Ping percaya identitinya digunakan selepas pernah kehilangan kad pengenalan pada Januari 2017.

“Saya menyedari mengenai masalah ini selepas tidak dapat mengeluarkan wang di sebuah bank pada Februari tahun lalu dan dimaklumkan yang akaun bank telah dibekukan berikutan terdapat kes sivil yang difailkan terhadap saya.

“Sebulan kemudian saya dimaklumkan telah menyebabkan seorang tuan rumah kerugian RM230,611 kononnya telah mengubah suai meter TNB di rumahnya sedangkan saya langsung tidak mengenali dia dan tidak pernah terlibat dengan perjanjian penyewaan rumah,” katanya.

Siang Ping berkata, perkara sama sekali lagi berlaku pada November tahun lalu apabila dia menerima saman mahkamah untuk satu kes sivil kerana berhutang RM234,747 dengan TNB atas penyewaan premis kedai di Butterworth.

“Saya percaya terdapat pihak yang berniat jahat telah memalsukan identiti saya dan menggunakan kad pengenalan saya untuk memasuki kedua-dua perjanjian ini dan memohon untuk bekalan tenaga elektrik.

“Saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kes ini supaya tiada mana-mana pihak yang mampu memalsukan identity orang lain dalam kegiatan haram,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS