AIR ITAM – Surau Kampung Tengah, Jalan Sheik Eusoff di sini siap dinaik taraf 6 Disember lalu dengan kos keseluruhan RM41,337.70 di bawah peruntukan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Ramkarpal berkata kerja-kerja naik taraf yang mengambil masa dua bulan tersebut melibatkan beberapa komponen seperti menukar bumbung, pemasangan Jubin lantai, naik taraf tempat wuduk, penggantian talang air hujan dan lain-lain.
“Diharap dengan penaiktarafan ini akan memberikan lebih keselesaan kepada penduduk dan pengguna (jemaah) surau ini.
“Terdahulu, sejumlah RM6,770 juga telah diperuntukkan untuk pemasangan alat siar raya di surau ini pada September lalu.
“Justeru, sekiranya ada sebarang permohonam tambahan, pihak saya tidak teragak-agak mempertimbangkannya untuk keselesaan penduduk dan pengguna surau,” ujarnya yang ditemui sejurus merasmikan Sambutan Hari Keluarga Kampung Bukit Tengah, Jalan Sheik Eusoff di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Seranta ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Air ItamQuah Tze Thoon dan Pengerusi Surau Kampung Tengah, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman.
Difahamkan bahawa, surau tersebut belum pernah dinaiktaraf sejak didirikan pada tahun 2009, dan ia mampu menampung sehingga 300 jemaah muslimin dan muslimat pada satu-satu masa.
Pada program berasingan, Ramkarpal turut meluangkan masa merasmikan rumah contoh The Rise Collection II di Jalan Dr. Wu Lien Teh di sini.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Northasia Bonds. Sdn. Bhd..