SUNGAI PINANG – Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer memperuntukkan sejumlah RM187,000 bagi menaik taraf dua unit lif di Blok 9 Halaman Damai, Kampung Rawa Sungai Pinang di sini.
Katanya, projek menaik taraf tersebut dilaksanakan selepas beliau menerima permintaan penduduk akibat lif lama yang usang dan rosak.
“Saya percaya semua jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan penting kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen untuk membantu penduduk setempat.
“Kerajaan Perpaduan yang diberi mandat akan sedaya upaya menjaga kebajikan rakyat, dan projek naik taraf ini merupakan sebahagian daripada agenda kita,” ujar beliau ketika melawat ke Blok 9 Halaman Damai Kampung Rawa di sini, kelmarin.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut mengiringi Rayer dalam lawatan tersebut.
Hadir sama, Pengerusi MPKK Kampung Rawa, Alex Lee; Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 9 Halaman Damai, Azlan Aleem dan mantan Pengerusi, Dato’ Abdul Razak Sultan.
Difahamkan, projek naik taraf dimulakan sejak bulan Jun dengan pembelian alat-alat ganti sebelum kerja penggantian dijalankan pada Ogos dan siap awal November lalu.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI