Ahli politik veteran terharu hari lahir ke-67 tahun dirai Ketua Menteri

Admin

PERMATANG PASIR – Sungguhpun dihambat pelbagai tugasan pentadbiran, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang ini meluangkan masa menyambut ulang tahun ke-67 kelahiran Desa Darus di Kampung Sama Gagah dekat sini.

Desa, yang menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada tahun 1992 memberitahu bahawa beliau sekeluarga begitu terharu dengan kunjungan pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin parti.

DESA Darus

“Oh…saya begitu gembira dengan kunjungan mereka, mereka pun berjuang bersama-sama saya juga, daripada zaman DAP masih belum diterima oleh orang-orang Melayu dahulu, sehingga kini (sejak tahun 2008) DAP telah menjadi sebahagian Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya berasa begitu gembira, walaupun mereka (pentadbiran Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Negeri) kini berada di tampuk pemerintahan (Kerajaan Negeri), tetapi tidak lupa kami di peringkat akar umbi parti,” jelasnya diiringi isteri, Rokiah Said, 59, kepada pemberita Buletin Mutiara dekat kediaman beliau di sini pada 19 Julai 2020.

DESA Darus (tengah) diiringi isteri, Rokiah Saad (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri di sini pada petang tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ketua Wanita DAP Kebangsaan; Exco Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; ADUN Sungai Pinang merangkap Ketua Wanita DAP Pulau Pinang; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Senator Lim Hui Ying yang juga Setiausaha DAP Negeri turut serta meraikan ulang tahun kelahiran Desa.

ACARA memotong kek diraikan dalam semangat kekeluargaan.
DESA Darus sekeluarga merakamkan gambar kenangan dengan barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin DAP Pulau Pinang.

Menurut Desa, beliau berbangga kerana memecahkan tradisi komuniti setempat dengan menjadi anak Melayu pertama menubuhkan DAP Cawangan Permatang Pasir pada awal 1990-an, sungguhpun dibesarkan dalam keluarga yang agak mesra dengan kebudayaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

”Kampung Sama Gagah ini boleh dikatakan ‘kubu PAS’, pakcik sendiri datang daripada keluarga ‘orang kuat’ PAS.

“Ada seorang veteran DAP bawa saya menyertai DAP, apabila saya menyertai DAP, nampaknya tidak ada isu-isu perkauman.

“Di Pulau Pinang, macam mana pun DAP suatu hari nanti akan menguasai Pulau Pinang, pakcik dah ‘baca’ dahulu lagi, jadi kena ada ‘orang kita’ (Melayu) dalam DAP untuk mengetengahkan juga isu-isu ‘orang kita’ menurut semangat perlembagaan Malaysia,” ujarnya sambil memberitahu bahawa kini orang Melayu seakan tidak lagi fobia dengan politik kepartian DAP.

Walaupun sudah bergelar warga emas, difahamkan, Desa masih aktif mewakafkan diri dengan kerja-kerja parti serta menjawat jawatan Penolong Setiausaha DAP Cawangan Nibong Tebal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ALVIE CHENG