GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor berkenan melawat pesakit kanser kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang pada 4 Februari 2023.
Lawatan yang merupakan inisiatif Yayasan Amal TYT melalui Program Ziarah Kasih itu adalah bersempena Hari Kanser Sedunia 2023 yang disambut pada 4 Februari setiap tahun.
Bertemakan ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser’, Ahmad Fuzi dan isteri meluangkan masa lebih sejam melawat seramai 35 pesakit kanser kanak-kanak selain beramah mesra bersama-sama petugas di wad berkenaan.
Dalam lawatan tersebut juga, Ahmad Fuzi menghulurkan sumbangan daripada Yayasan Amal TYT beserta cenderahati daripada pihak Mydin Wholesale Hypermarket.
Malah, Ahmad Fuzi dan isteri turut memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kesembuhan untuk para pesakit kanser dan meminta supaya ahli keluarga sentiasa kuat dalam memberi sokongan moral.
Pada masa sama, Ahmad Fuzi memuji pihak pengurusan hospital atas perkhidmatan baik yang telah diberikan.
Buletin Mutiara difahamkan, kunjungan tersebut bertujuan memberikan sokongan dan dokongan kuat terhadap para pesakit dan keluarga mereka melalui tindakan kebajikan dan sumbangan yang sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dato’ Dr. Teo Gim Sian; Timbalan Pengarah I, Dr. S. Shameni; Timbalan Pengarah Perubatan, Dr. Ibrahim Tahir Dato’ Dr. Anwar dan Pakar Perunding Pediatrik Hematologi & Onkologi, Dr. Yeoh Seoh Leng antara yang mengiringi kunjungan tersebut.
Difahamkan, kadar kejayaan keseluruhan untuk pesakit kanak-kanak di hospital tersebut sembuh adalah sebanyak 80 peratus berikutan kemajuan teknologi serta rawatan kanser yang bertambah baik, ditambah pula dengan rawatan kanser percuma untuk kanak-kanak bersekolah.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PEJABAT TYT