Ahmad Fuzi puji pimpinan negeri pastikan kelangsungan Pulau Pinang terpelihara semasa pandemik

Admin

GEORGE TOWN – Komitmen berterusan yang dizahirkan oleh barisan kepimpinan negeri, para pegawai, penjawat awam serta rakyat dipuji oleh Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Pujian tersebut dilafazkan oleh Ahmad Fuzi ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-72 di Dewan Sri Pinang, dekat sini pada 1 November 2021.

 

Beliau percaya bahawa Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan seluruh jentera pentadbiran telah melaksanakan tanggungjawab serta komitmen terbaik bagi memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri berfungsi khususnya dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini.

 

“Saya mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada pimpinan Ketua Menteri kerana dapat mentadbir Kerajaan Negeri dengan cemerlang walaupun negara dan negeri Pulau Pinang sedang diuji dengan pandemik COVID-19.

 

AHMAD Fuzi Abdul Razak ketika menyempurnakan istiadat kawalan kehormatan di Dataran Sri Pinang.

Semua ini tidak dapat dicapai tanpa komitmen berterusan yang dizahirkan oleh barisan kepimpinan negeri, pegawai-pegawai, penjawat awam serta rakyat dalam membangunkan negeri melalui pelbagai strategi demi mengembalikan kesejahteraan hidup seiring dengan usaha meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi dan kesihatan awam.

 

 

 

“Meskipun Pulau Pinang kini telah beralih ke PPN Fasa Tiga (3) dan sempadan negeri dibuka semula, tidak bermakna kita telah berjaya melawan pandemik COVID-19.

 

“Oleh yang demikian, saya ingin mengingatkan rakyat supaya tidak lalai serta leka meskipun telah mendapat suntikan vaksin.

 

“Terus mematuhi amalan normal baharu serta prosedur operasi standard (SOP) demi mengawal wabak daripada terus merebak. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan segala usaha menangani wabak ini berjaya dilaksanakan secara menyeluruh,” ujar Ahmad Fuzi.

 

Dalam ucaptama itu juga, beliau menzahirkan kesyukuran atas semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan rakyat yang diserlahkan demi membantu pihak-pihak memerlukan.

 

Semoga nikmat perpaduan serta harmoni di negeri ini dikecapi secara berterusan sekali gus mengukuhkan asas yang mencorakkan kedamaian dan kemakmuran bersama.

 

“Saya amat berharap agar Pulau Pinang terus membangun dan mencapai Visi Penang2030 ke arah menjadi sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

 

‘Semoga kepimpinan barisan pemimpin dan pentadbir negeri terus menjadi penggerak dan peneraju perubahan yang bermanfaat dan bermakna kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

 

Ahmad Fuzi dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat yang telah menjalankan tanggungjawab dengan menerima suntikan vaksin sebagai ikhtiar melindungi diri, keluarga masyarakat.

 

Malah, beliau yakin dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, ia dapat mengembalikan semula Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan utama termasuk Pakej Bantuan Rakyat berjumlah RM176.45 juta yang disalurkan kepada pihak terkesan akibat pandemik.

 

“Saya berharap Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan prinsip urus tadbir yang baik serta efisien dengan sebarang keputusan dasar perancangan pembangunan berpaksikan kepada keadilan dan mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum serta fahaman politik.

 

“Kemodenan dan kemajuan yang dikecapi tidak akan membawa erti sekiranya rakyat dibelenggu kesusahan dan dihimpit peningkatan kos sara hidup yang tinggi,” tegasnya.

 

Pada kesempatan itu juga, Ahmad Fuzi turut menzahirkan penghargaan kepada anggota barisan hadapan dalam mempertahankan negeri demi kestabilan dan ketenteraman awam lebih-lebih lagi semasa perjuangan menentang penularan pandemik COVID-19.

 

Terdahulu, Ahmad Fuzi berkenan menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormatan Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat serta diketuai oleh Mejar Amir Ilhan Mohd.Yusof.

 

DR. Syed Hussian Syed Junid mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri.

Mengiringi istiadat kawalan kehormatan adalah Pancaragam Pusat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di bawah pimpinan Mejar Mohd. Rizal Mohd. Noor serta disusuli dengan 17 das tembakan meriam oleh 41 Bateri, Rejimen Artileri DiRaja, Kem Sungai Buloh, Selangor dan diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhammad Asri Che Wil.

 

Usai itu, Ahmad Fuzi bersama-sama isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor serta pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dan isteri; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan isteri serta jemputan kenamaan lain masuk ke balai istiadat.

 

Istiadat hari pertama hari ini menyaksikan seramai 90 penerima yang mana darjah tertinggi adalah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) membawa gelaran Dato’ Seri. Darjah ini dikurniakan kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad merangkap Pengerusi Western Digital (M) Sdn. Bhd., Datuk Dr. Syed Hussian Syed Junid dan mantan Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

MOHAIYANI Shamsudin menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri membawa gelaran Dato’ Seri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR