Air pasang besar: Ketua Menteri nasihat orang ramai elak hampiri kawasan pantai

Admin
img 20241019 wa0042

BAGAN JERMAL – Orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai di negeri ini dinasihat agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula 18 hingga 21 Oktober ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai keadaan semasa fenomena air pasang besar di Pulau Pinang.

“Saya menyeru kepada orang ramai, khususnya mereka yang tinggal di sekitar kawasan pantai supaya mengelakkan daripada melakukan aktiviti pantai dalam tempoh ini.

“Malah, sekiranya didapati berlaku angin kencang yang membawa ombak besar, penduduk berkaitan dinasihati untuk menjauhi kawasan pantai,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian sijil tamat latihan kepada peserta empowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan bagi daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan tahun 2022 hingga 2024 dekat PICCA @ Butterworth di sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa keadaan fenomena air pasang di negeri ini masih lagi terkawal, dan setakat ini belum ada sebarang laporan berkaitan kejadian banjir diterima oleh pihak berkuasa negeri.

“Walau bagaimanapun, kita telah mengarahkan semua pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sentiasa bersiap siaga bagi mendepani fenomena ini.

“Kita akan meneliti sama ada bilik operasi bencana perlu dibuka, jika ada laporan berkaitan banjir maka tindakan susulan akan diambil termasuk membuka pusat pemindahan dan sebagainya,” jelasnya sambil menambah bahawa bilik operasi bencana telah pun diwujudkan di setiap daerah di negeri ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Dato’ Mohd. Nazri Yasmin memberitahu bahawa berdasarkan jadual berkaitan, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dan waktu puncak air pasang besar itu adalah antara tengah malam hingga awal pagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT