‘AirBadminton’ tambah daya tarikan pantai negeri, suatu penghormatan buat rakyat Pulau Pinang

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Soon Lip Chee (kiri sekali) menyempurnakan majlis pelancaran acara berkaitan yang dilangsungkan di Hotel Hard Rock, Batu Feringghi tadi.

TELUK BAHANG – Dengan membawa kembali beberapa lagenda pemain badminton negara termasuk Dato’ Mohd. Rashid Abdul Sidek sendiri untuk beraksi dalam Kejohanan ‘AirBadminton’ Badminton Asia pada hari ini, ia sekaligus menambahkan lagi keunikan serta daya tarikan pelancongan rekreasi serantau ke Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian acara yang julung kali diadakan di negara ini dekat pantai berhampiran Hotel Hard Rock, Batu Feringghi di sini.

“Dengan penganjuran ‘AirBadminton’ pada petang ini (18 Disember 2021), saya berasa begitu gembira kerana ada acara tambahan dilangsungkan secara santai yang mana menambahkan daya saingan di luar bilik serta keunikan pantai negeri ini.

“Acara pelancaran ‘AirBadminton’ di negeri ini merupakan suatu penghormatan yang patut diberikan kepada sekalian warga penduduk Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Pembangunan Persekutuan Badminton Sedunia, IAN Wright dan Pengarah Operasi Badminton Asia, Saw Chit Boon.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengurus Pembangunan Kanan Badminton Asia, A. Thana menyatakan bahawa pihaknya berharap penganjuran kejohanan tersebut di Pulau Pinang bakal menjadi batu loncatan untuk penganjuran acara seumpama tersebut di negeri-negeri lain kelak.

Selain Mohd. Rashid, ‘lagenda’ lain yang turut beraksi secara tiga berkumpulan pada penganjuran berkaitan adalah Alif Razlan, Cheah Liek Hou, Erica Khoo Pei Shan, Felix Ooi, Goh Giap Chin, Ong Ewe Chye, Ong Ewe Hock, Seow Chee Hoe, Sim Fong Hau, Thomas Teh Cheang Hock dan K. Yeshveenii.

Mohd. Rashid bersama-sama dua anggota kumpulan lain, Liek Hou dan Yeshveenii menjuarai kejohanan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI