Akademi Kopa Balik Pulau gilap bakat cilik, harumkan nama negeri

Admin

SALAH satu bukti sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan di negeri ini khususnya bola sepak adalah melalui pelaksanaan program bola sepak pada peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat-bakat.

Inisiatif tersebut sekali gus membantu menyerlahkan lagi bakat anak-anak muda sehingga melayakkan mereka ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Karnival Bola Sepak Akar Umbi ❤️PENANG 2023 yang diadakan dekat Padang Polo pada 30 September 2023 dan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Julung kalinya mengambil bahagian, SHEIKH MUHAMMAD HAZWAN S. A. TAJUDDIN yang merupakan jurulatih pasukan dan kapten pasukan bawah lapan tahun (U8), MUHAMMAD HARRAZ AZMI, berjaya mendapat tempat johan bagi kategori berkaitan.

Justeru, baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan menemu bual pasukan Akademi Kopa Balik Pulau yang pertama kali menjuarai kategori U8 dalam Karnival Bola Sepak Akar Umbi ❤️PENANG 2023 menentang 72 pasukan dari serata negeri.

JURULATIH pasukan, Sheikh Muhammad Hazwan S. A. Tajuddin.

Menurut Sheikh Muhammad Hazwan atau lebih mesra disapa sebagai Hazwan, Akademi Kopa Balik Pulau baru setahun jagung ditubuhkan.

“Akademi ini bertapak di Universiti Sains Malaysia (USM) meliputi beberapa cawangan seperti di Balik Pulau, Kubang Kerian, Kelantan dan juga Kuala Lumpur.

“Bagi cawangan Balik Pulau pula baru setahun lebih ditubuhkan dan pasukan kami masih lagi dalam proses pembelajaran, tidak sangka mampu memperoleh pencapaian sebegini,” ujarnya semasa sesi wawancara yang diadakan dekat Padang Kongsi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hazwan turut berkongsi pasukannya juga aktif menyertai kejohanan yang diadakan di serata negeri.

“Walaupun baru setahun jagung, dengan menyertai apa jua kejohanan para pemain boleh mencabar diri serta memperbaiki apa yang terkurang.

“Selaku jurulatih, saya dapat melihat prestasi anak buah apabila bermain di padang kerana tidak mudah untuk melatih kanak-kanak berusia lapan tahun menjadi seorang pemain bola.

“Pada peringkat awal mereka (pemain) sudah tentu tiada kemahiran, hanya tahu bermain mengikut aturan sendiri, oleh itu saya dan beberapa jurulatih yang lain bergabung tenaga menggilap pasukan ini dari ‘zero to hero’,” jelasnya lagi. 

KEJAYAAN membanggakan pasukan Akademi Kopa Balik Pulau.

Bercakap mengenai kemenangan pada Karnival Bola Sepak Akar Umbi ❤️PENANG 2023 baru-baru ini, Hazwan turut menzahirkan rasa bangganya selaku jurulatih.

“Pasukan ini terbahagi kepada dua pecahan umur iaitu U8 dan juga bawah 10 tahun (U10), bagi yang sudah ada kemahiran dan tahu bermain jurulatih akan asingkan ke pasukan elit.

“Kebiasaannya pasukan elit akan berlawan semasa kejohanan manakala pasukan biasa sebagai pemain simpanan dan bersedia jika berlaku sebarang kecederaan atau kecemasan.

“Menentang 72 pasukan lain yang lebih handal dan ‘lama’ merupakan cabaran besar bagi pasukan kami, akan tetapi dek semangat pemain U8 yang teguh bersaing berjaya mendapat johan bagi kategori berkaitan, tidak terungkap rasa bangga terhadap mereka,” ujarnya. 

SESI latihan yang diadakan setiap minggu.

Ditanya pula mengenai cabaran sebagai jurulatih, Hazwan turut menekankan kunci sebenar kejayaan sesebuah pasukan memerlukan nilai kesabaran yang tinggi.

“Menjadi jurulatih hanya komitmen sambilan, cabaran sebenar adalah untuk membahagikan masa dan tenaga dalam menjalankan latihan kerana saya terikat dengan kerja hakiki mengikut waktu pejabat.

“Akan tetapi, saya serta barisan jurulatih tidak menjadikan ia sebagai satu alasan untuk tidak henti berusaha dan putus asa, pengorbanan dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit berbaloi apabila memperoleh kejayaan ini,” katanya sambil menyatakan setiap titik peluh jurulatih dan pemain amat bermakna.

SESI taklimat yang diadakan sebelum memulakan perlawanan.

Selain itu, Hazwan turut menyatakan cabaran besar digalas oleh jurulatih dalam mendisiplinkan para pemain yang masih dalam kategori kanak-kanak.

“Pemain pasukan terdiri daripada kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah, jadi dalam memberi arahan serta mendisiplinkan mereka agak sukar, ditambah pula lebih terbiasa dengan cara ‘kampung’ yang berlainan daripada kanak-kanak di bandar.

“Saya sememangnya tegas dalam melatih sehingga membuatkan mereka mengikut setiap arahan.

“Mereka begitu komited menjalani latihan pada hujung minggu bermula seawal 8 sehingga 10 pagi, latihan tambahan akan diadakan pada hari biasa setiap petang di Padang Kongsi.

“Di samping itu, sokongan padu dari ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memupuk minat anak-anak, bukan sahaja datang dan tunggu melihat anak mereka berlatih, malah juga membawa makanan untuk semua pemain,” tambahnya.

MUHAMMAD Harraz Azmi.

Menutup sesi wawancara, Muhammad Harraz sama-sama berharap Akademi Kopa Balik Pulau dapat mengembangkan lagi sayap ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berharap akademi ini mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti serta mencapai kejohanan di peringkat kebangsaan.

“Pasukan (U8 dan U10) juga tidak akan henti memperbaiki kualiti bermain serta menambah baik prestasi dan juga kemahiran dari semasa ke semasa,” ujar Muhammad Harraz yang bersedia menghadapi kejohanan pada masa akan datang.

Bagi Hazwan, sudah tentu tinggi harapan untuk melihat pasukan bimbingannya memperoleh lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Jika diberi peluang, akademi ini mungkin akan menambah kategori umur melibatkan bawah 18 tahun (U18), diharapkan juga Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia, Sukan dan Kesihatan dapat menyokong dari segi bantuan kelengkapan dan sebagainya.

“Besar juga harapan saya agar pasukan dari Akademi Kopa Balik Pulau berjaya mewakili negeri dalam kejohanan serta mampu menyinar dan mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia kelak,” katanya menutup bicara.