Akmal Nasrullah sokong syor Ketua Menteri supaya Pusat biaya sebahagian kos Projek Air Perak – Pulau Pinang

Admin
4375525c e42a 4751 bba4 42a2995f75a4 KETUA Menteri bersama-sama Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dalam sidang media berkaitan di Mydin Bertam pada 13 Jun 2024.

BERTAM – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menyokong penuh sekiranya kos infrastruktur Projek Air Perak – Pulau Pinang dibiayai oleh Kementerian Ekonomi.

Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Sistem Solar Fotovoltaik Kepada Mydin Bertam di sini pada 13 Mei 2024.

“Bagi pihak PETRA, kami menyambut baik apabila melihat perkembangan amat positif (dalam cadangan Projek Air Perak – Pulau Pinang) yang mana kedua-dua (Kerajaan) Negeri apabila melibatkan air ini, merawat sumber air dan menyalurkan kepada pengguna.

“Dari segi perancangan pembangunan, ini sememangnya ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi.

“Maka, bagi pihak PETRA memang kita akan mengangkat perkara ini (iaitu Projek Air Perak – Pulau Pinang) sebagai suatu keutamaan,” jelasnya.

Pentingnya Projek Air Perak – Pulau Pinang diusahakan secara bersama oleh kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Akmal Nasrullah menyatakan bahawa projek tersebut akan mempercepatkan pelaksanaaan Kerian Hi-Tech Park serta melimpahkan manfaat pelaburan ke Pulau Pinang terutama di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Rancangan (Projek Air Perak – Pulau Pinang) itu perlu diusahakan secara bersama-sama untuk justifikasi meningkatkan pembekalan air di negeri Perak ini yang mana juga perlu merangkumkan rancangan industri dan sebagainya.

“Oleh sebab itu, bagi pihak kami (PETRA) memang sependapat dengan Kerajaan Negeri supaya perkara ini (Projek Air Perak – Pulau Pinang) dijadikan keutamaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi percaya bahawa Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA akan menyediakan peruntukan untuk sebahagian kerja di bawah tanggungjawab Persekutuan seperti kerja-kerja sumber air mentah (di Sungai Kerai, Perak).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS