Akta 672: Kerajaan Negeri tunggu persetujuan JPSPN mulakan rundingan

Admin
whatsapp image 2024 05 28 at 11.31.38

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang menunggu persetujuan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memulakan rundingan bagi menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri ini.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, hasrat untuk membuka ruang rundingan bagi menerima pakai Akta 672 telah dipersetujui melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Bilangan 7 pada 28 Februari 2024.

 

Susulan keputusan itu, satu surat hasrat rundingan telah dikemukakan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) pada 26 Mac 2024.

 

“(Dan) kini, kita (Kerajaan Negeri) sedang menunggu persetujuan untuk memulakan proses rundingan yang dijangka akan mengambil masa sehingga enam bulan sebelum suatu keputusan dapat dimuktamadkan kelak,” ujarnya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

 

Kenyataan tersebut adalah bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng dan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.

 

Mengulas lanjut, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini masih perlu mengemukakan dokumen berhubung data perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sejak tahun 2021 sehingga 2023.

 

Mengenai syarat rundingan yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan PBT pula, pastinya untuk memastikan tahap mutu perkhidmatan serta kekerapan kutipan dan pembersihan awam adalah setara atau lebih baik dari sekarang ini.

 

“Proses rundingan ini juga nanti akan turut melibatkan sesi libat urus bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana opsyen bagi kakitangan PBT akan diperincikan semasa sesi tersebut kelak,” jelasnya.

 

Difahamkan, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam iaitu SW Corp Malaysia akan turut sama dalam rundingan berkaitan.

 

Dalam sesi sama, Mooi Lye turut memaklumkan kepada Dewan kelebihan dan kelemahan penerima pakai Akta 672.

 

“Antara kelebihannya adalah peruntukan pengurusan sisa pepejal dan pengurusan awam akan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan; pembangunan dan pengoperasian Loji Waste to Energy akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dan pelantikan anak syarikat Kerajaan Negeri sebagai syarikat konsesi.

 

“Manakala, kelemahan pemakaian akta tersebut adalah penambahan caruman tetap oleh PBT bagi kawasan baharu dan Kerajaan Negeri serta PBT tidak terlibat dalam perancangan fasiliti sisa pepejal.

 

“Walau bagaimanapun, Akta 672 ini akan memastikan keseragaman dalam pengawalseliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam agar lebih cekap, mampan serta mampu merancakkan ekonomi kitaran sekali gus dilihat dapat mengoptimumkan kitar hayat tapak pelupusan sampah (konvensional),” katanya.

 

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING