JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri masih berada dalam peringkat rundingan susulan daripada keputusan Jemaah Menteri secara dasar menerima Selangor dan Pulau Pinang sebagai negeri terkini yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, perbincangan mengenai Akta 672 tersebut sebenarnya sudah berjalan hampir setahun yang mana dengan keputusan persetujuan berkaitan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal akan melantik sebuah syarikat untuk meneliti sistem pengurusan sampah serta pembersihan awam di Pulau Pinang.
“Keputusan ini juga akan melihat kepada kos yang perlu dibelanjakan kerana ia (kos) adalah pertimbangan yang ‘pokok’ dalam pengambilalihan perkhidmatan ini,” ujarnya.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dalam pada itu turut mengemukakan beberapa syarat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai pertimbangan.
“Rundingan ini dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini jua,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD