PANTAI JEREJAK – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mahu melihat kakitangannya sentiasa aktif dalam membudayakan aktiviti sukan sama ada pada peringkat majlis mahupun di persada antarabangsa.
Malah, beliau sangat komited dalam memberikan galakan kepada kakitangannya. Katanya, perkara tersebut adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri ini bandar raya sukan bertaraf antarabangsa.
“Pada 12 hingga 17 Oktober lalu, MBPP menyertai 2017 ARA Waterway International Dragon Boat Festival di Incheon, Korea Selatan dan berjaya mendapat tempat pertama bagi Kategori Small Boat Tug-of-War.
“Bagi Kategori International Premier 200 Meter Dragon Boat Race pula, MBPP menduduki tempat keenam.
“Pada 30 September hingga 1 Oktober lalu pula, kita (MBPP) turut berjaya menganjurkan Kejohanan Paintball Antarabangsa Piala Datuk Bandar MBPP 2017, dan ini merupakan sebahagian aktiviti sukan yang dianjurkan oleh MBPP,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Hadiah & Jamuan Makan Malam Kejohanan Boling Sempena Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT) Ke-79 di sini baru-baru ini.
Kejohanan boling tersebut disertai 56 pasukan terdiri daripada 21 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
Mengulas lanjut, Maimunah menyatakan bahawa beliau sendiri akan turut serta dalam beberapa aktiviti sihat sebagai contoh dan teladan baik kepada semua.
Pada kejohanan boling baru-baru ini, pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) A menjuarai keseluruhan kejohanan setelah mencatat 5,828 jatuhan pin dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, piala pusingan berserta pingat.
Tempat kedua dimenangi Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan 5,775 jatuhan pin, RM2,000, piala dan pingat; Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) A dengan 5,775 jatuhan pin akur di tempat ketiga setelah penentuan juara dilakukan menerusi last game.
Pasukan berkaitan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 bersama-sama piala dan pingat.