AIR PUTIH – “Setelah menunggu hampir enam bulan, kami berasa amat bersyukur kerana atas inisiatif Ketua Menteri, alang masjid dapat digantikan dalam tempoh tiga hari,’’ jelas Nazir Masjid Jamek Mastan Bapoo, Kampung Baru, MD. Hamid Merican ketika ditemui SUARA CAT di sini baru-baru ini.
MD. Hamid berkata, dengan alang yang baru, semua penduduk Kampung Baru di sini dapat menjalankan ibadah dalam keadaan lebih selesa dan selamat.
“Ekoran usia masjid yang telah mencapai 108 tahun, alang asal masjid telah reput dimakan anai-anai. Ekoran itu, pihak jawatankuasa masjid telah berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada beberapa pihak, namun gagal sehinggalah perkara ini memperoleh perhatian Y.A.B.,’’ katanya.
MD. Hamid memberitahu, masjid yang mampu memuatkan kira-kira 100 umat Islam di dewan sembahyang utama mempunyai keluasan 1,200 kaki persegi (bahagian utama) dan tambahan 1,200 kaki persegi di bahagian luar.
”Semua kos penyelenggaraan bagi masjid ini adalah hasil derma dan sumbangan orang ramai terutamanya menjelang sembahyang Jumaat. Dengan kutipan secara purata sebanyak RM700 setiap minggu, wang tersebut turut digunakan untuk membayar kos bulanan berjumlah RM750 termasuk kepada tiga imam jemputan,’’ jelas MD. Hamid.